Categories
NASIONAL

Euro 2016: Cristiano Ronaldo kecewakan Portugal

OLEH : AFIX REDZUAN

PARIS, 19 JUN: Cristiano Ronaldo dan Portugal terus dirudung malang dalam kempen Euro 2016 apabila hanya mampu mencatatkan keputusan seri tanpa sebarang jaringan menentang Austria.

Lebih mengecewakan bintang Real Madrid itu gagal menyempurnakan sepakan penalti selain jaringannya dibatalkan kerana off-side.

Menguasai hampir 60 peratus permainan, Portugal tidak mampu memecah kebuntuan jaringan sebaliknya Austria dapat bertahan dengan baik.

Nani hampir menjaringkan gol awal buat Portugal pada babak pertama namun tandukannya sekadar singgah di tiang gol pada minit ke-29.

Portugal terus mengasak pada babak kedua dan akhirnya mereka dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-79 selepas Ronaldo dijatuhkan Martin Hinteregger.

EURO 2016Sepakan Ronaldo sekadar terkena tiang dalam perlawanan ke-128 beliau bersama Portugal sekali gus mengatasi rekod dipegang lagenda Luis Figo.

Malang terus menyelubungi Ronaldo apabila jaringannya pada minit ke-85 dibatalkan pengadil kerana off-side.

Ini merupakan keputusan seri kedua Portugal selepas diikat 1-1 menentang Iceland dalam perlawanan pembukaan.

Sementara itu hasrat Iceland untuk mengutip tiga mata pertama dalam edisi Euro 2016 berkecai selepas sekadar seri 1-1 menentang Hungary.

Gol sendiri Birkir Saevarsson pada minit akhir permainan memusnahkan harapan Iceland selepas beliau tertampan bola ke dalam gawang selepas gagal mengeluarkan bola lorongan Nemanja Nicolic.

Namun, Iceland terlebih dahulu mengejutkan Hungry pada minit ke-40 hasil sepakan penalti Gylfi Sigurdsson selepas Tamas Kadar mengasari Aron Gunnarsson.

Sigurdsson berpeluang menjadi wira Iceland namun sepakan percuma beliau pada masa tambahan sekadar terkena benteng pertahanan Hungary sementara cubaan susulan Eidur Gudjohnsen tersasar keluar.

Selepas dua perlawanan, Hungary selesa mendahului Kumpulan F dengan empat mata sementara Iceland dan Portugal berkongsi dua mata manakala Austria satu mata.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan E, Belgium menghidupkan peluang untuk terus bersaing selepas menang mudah 3-0 ke atas Ireland.

Tiga gol Belgium hadir pada babak kedua menerusi dua jaringan Romelu Lukaku dan Axel Witsel.

Lukaku membuka tirai jaringan selepas tiga minit babak kedua bersambung menerusi rembatan kaki kiri hasil serangan balas sebelum giliran Witsel menggandakan jaringan apabila menanduk masuk bola hantaran Thomas Muenier pada minit ke-61.

Gol ketiga Belgium hadir sembilan minit kemudian juga menerusi Lukaku hasil lorongan Eden Hazard.

Dengan kemenangan ini Belgium memperbaiki kedudukan di tangga kedua di belakang pendahulu, Italy diikuti Sweden dan Ireland.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.