OLEH : AFIX REDZUAN
PARIS, 21 JUN: Wales berjaya mara ke pusingan kalah mati Euro 2016 selepas mempamerkan persembahan bertenaga menewaskan Rusia 3-0 awal pagi ini.
Dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan, Aaron Ramsey membuka tirai jaringan pada minit ke-11 selepas menerima umpanan Joe Allen yang memperdaya pertahanan Rusia bagi gol pertama Wales.
Selang sembilan minit kemudian, Neil Taylor menjadikan keputusan 2-0 apabila berjaya memperdaya penjaga gol, Igor Akinfeev bagi memastikan Wales selesa mendahului pada separuh masa pertama.
Rusia cuba bangkit pada separuh masa kedua menerusi beberapa gerakan serangan namun Gareth Bale mematikan segala sisa perjuangan mereka dengan gol ketiga pada minit ke-67 buat The Red Dragon.
Ramsey menjadi tonggak utama apabila gerakannya berjaya disudahkan Bale untuk gol ketiga beliau sepanjang kempen Euro 2016.
Sementara itu hasrat England untuk memintas Wales dalam satu lagi aksi Kumpulan B berkecai selepas terikat tanpa jaringan berdepan Slovakia.
Meskipun Roy Hodgson membuat perubahan taktikal dengan menurunkan gandingan Daniel Sturridge dan Jamie Vardy namun The Three Lions gagal memecah kekebalan benteng pertahanan Slovakia diketuai Martin Skrtel.
Dengan keputusan itu, Wales mara selaku juara kumpulan selepas mengumpul enam mata sementara England di tangga kedua dengan lima mata.
Slovakia turut berpeluang ke pusingan kalah mati selepas mengumpul empat mata di tempat ketiga sementara Rusia keempat dan menamatkan aksi Euro 2016 dengan satu mata.
EZY