Categories
SELANGOR

Pemimpin didakwa rasuah, Kerajaan Negeri sedia beri kerjasama – MB

OLEH : AFIX REDZUAN

KUALA KANGSAR, 16 JUN: Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan Kerajaan Selangor sedia memberikan kerjasama terhadap sebarang bentuk siasatan selaras dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.

Katanya, prinsip itu melibatkan semua pimpinan negeri termasuk di peringkat eksekutif hingga bawahan.

“Seperti ditegaskan sebelum Kerajaan Selangor berpegang kepada prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pentadbiran negeri.

MB Azmin“Sabarang aduan perlu dikemukakan kepada pihak bertanggungjawab termasuk SPRM dan Kerajaan Negeri akan memberikan kerjasama sepenuhnya dalam siasatan ini.

“Kita serahkan kepada SPRM untuk menjalankan siasatan dan sekiranya terbukti ada sebarang bentuk kesalahan dan ada prosedur serta peraturan yang perlu dipatuhi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kes penahanan seorang Penyelaras Dun Selangor oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atas dakwaan rasuah hari ini.

Difahamkan Penyelaras Dun itu terlibat atas dakwaan menerima rasuah sebanyak RM30,000 daripada seorang kontraktor.

Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden KEADILAN sebelum itu bersama Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa beramah mesra bersama peniaga bazar Ramadan di Taman Chandan Putri sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar.

AZMIN WAWI WALKABOUTHadir sama calon Parti Amanah Negara (AMANAH), Prof Dr Ahmad Termizi Ramli bersama beberapa pimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH).

Pembuangan undi yang bakal berlangsung 18 Jun ini menyaksikan pertembungan empat penjuru antara tiga calon lain, Datin Mastura Mohd Yazid (BN), Dr Najihatussalehah Ahmad (PAS) dan Izat Bukhary Ismail Bukhary (BEBAS).

PRK Parlimen Kuala Kangsar diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad yang terkorban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu.

-nR-

Leave a Reply

Your email address will not be published.