Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Elak kenyataan renggang PAKATAN – MB

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 25 JULAI: Pemimpin Pakatan diingatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang mampu menjejaskan muafakat konsesus itu bagi mengekalkan mandat rakyat seperti Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata ia selaras kehendak rakyat di peringkat akar umbi yang mahukan parti gabungan itu duduk semeja bagi membina kerjasama lebih erat.

“Saya sudah tegaskan sebagai Ahli Dewan Negeri (ADN), kita harus mempertahankan proses demokrasi dan mandat diberikan rakyat pada 2013 yang jelas memberikan sokongan padu dengan majoriti terbesar pernah Pakatan dapat.

MB05“Saya mahu semua pihak menghormati sentimen hari ini. Kalau kita lihat di sosial media dan akar umbi, rakyat menuntut semua parti duduk berbincang kepentingan negara dan negeri.

“Mereka tidak mahu kita bergaduh dan saya bertanggungjawab mendengar suara rakyat,” katanya kepada media selepas menghadiri Forum Kebebasan Maklumat di Bangunan Annex, Dewan Negeri Selangor di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, muafakat di dalam pentadbiran Kerajaan Selangor boleh dijadikan contoh terbaik kepada mana-mana kerajaan dalam mentadbirkan sebuah kerajaan.

Selain menghormati mandat rakyat, beliau turut menggesa institusi Diraja termasuk Selangor dipertahankan dan dimuliakan.

“Kita harus bersyukur institusi Raja di Selangor tidak mencampuri urusan pentadbiran dan urusan politik.

“Jangan buat kenyataan yang boleh menimbulkan prasangka dan persepsi tidak baik,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.