Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Sukma 2016: Selangor kekal tangga teratas

OLEH HAFIZAN TAIB

KUCHING, 28 JULAI: Saingan hebat antara kontinjen di Sukan Malaysia (Sukma) 2016 di sini, semalam, terus berlangsung dengan Selangor mengekalkan penguasaan pada kedudukan teratas pungutan pingat keseluruhan.

Dengan kejohanan menghampiri detik penghujung, Selangor berjaya memungut 48 emas, 60 perak dan 48 gangsa dalam beberapa acara disertai atlet untuk mengatasi tuan rumah, Sarawak dengan kelebihan tiga emas.

Sarawak menambah pungutan pingat kepada 45 emas, 27 perak , 43 gangsa buat kekal di tangga kedua diikuti Wilayah Persekutuan (33 emas, 34 perak, 32 gangsa) ketiga.

Kecemerlangan kontinjen Selangor membanggakan dan atlet bertanding berusaha gigih bagi mencapai kemenangan dalam setiap acara disertai.

SUKMA SELANGORKehadiran Raja Muda Selangor, DYTM Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah yang mencemar duli ke perkampungan atlet dan beberapa gelanggang pertandingan, menambahkan lagi semangat kontinjen Selangor.

Dengan cabaran kontinjen negeri lain kian meningkat, Selangor pasti berusaha melalui prestasi atlet yang baik untuk mencipta angka lebih tinggi dalam pungutan pingat walaupun sasaran 48 emas sudah tercapai.

Kejayaan atlet dalam kebanyakan acara antaranya renang dan terjun, menembak, badminton, olahraga, wushu, berbasikal, tenis, skuasy dan sebagainya diyakini berterusan.

Acara sukan masih berlangsung seperti di pentas berbasikal, memanah, pencak silat, tenis, menembak dan yang lain terus menjadi sandaran Selangor.

Temasya dwi tahunan itu nyata pentas terbaik buat atlet muda negeri mempamerkan kehebatan seterusnya mencipta kejayaan untuk diangkat ke peringkat lebih tinggi pada masa hadapan.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.