Categories
SELANGOR

Sukma 2016: Semangat bapa iringi Jern Rong cipta cipta kejayaan

OLEH HAFIZAN TAIB

KUCHING, 30 JULAI: Atlet Selangor, Chau Jern Rong, mencuri tumpuan di Stadium Perpaduan, Petra Jaya, di sini, apabila memenangi tiga emas dan satu perak dalam gimnastik Sukan Malaysia (Sukma) 2016.

Gimnas kebangsaan itu meraih emas dalam acara gelang, palang sejajar dan berpasukan lelaki selain perak dalam palang tunggal.

Kejayaan dicipta menuntut keazaman tinggi kerana dua bulan sebelum ke Sukma mengalami kecederaan bahu dan kaki serta bapanya dimasukkan ke pusat rawatan rapi (ICU) di hospital.

“Puas hati dengan pencapaian kerana mulanya saya kira tak dapat turut serta.

jeroong 3 (1)“Bapa memberikan kekuatan kepada saya untuk berjuang apabila tabah menghadapi dugaan hingga kembali sembuh dan keluar dari hospital.

“Jika beliau seorang pejuang, saya juga begitu,” katanya kepada SelangorKini di sini, hari ini.

Jern Rong berkata, Sukma kali ini adalah yang ketiga bagi dirinya dan pencapaian terbaik sehingga ini.

“Saya bersemangat mencipta kejayaan bersama rakan sepasukan dan berpeluang untuk bersama lagi dalam Sukma 2018.

“Selepas ini akan menyertai kembali kem latihan kebangsaan untuk kelayakan Sukan Sea tahun depan dan mungkin juga menyertai Terbuka Kebangsaan, Terbuka Singapura serta kejohanan lain,” kata pemuda 18 tahun itu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.