Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Rumah Selangorku pelopori pasaran rumah mampu milik

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 31 OGOS: Rumah Selangorku kian menjadi antara pelopor pasaran hartanah tempatan yang mula diintai untuk dimiliki rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Walaupun masih hijau dalam gelanggang perumahan juga hartanah, namun tawaran harga jualan Rumah Selangorku tidak melebihi RM250,000 seunit meyakinkan rakyat untuk memohon menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).

Berdasarkan penyelidikan Faktor Perumahan dijalankan Institut Kajian Khazanah (KRI), Rumah Selangorku menawarkan tiga varian; Jenis B dijual pada harga RM100,000 dengan keluasan 750 kaki persegi, Jenis C dari RM150,000 hingga RM200,000 (800-1080 kaki persegi) sementara Jenis D pada anggaran harga RM220,000 hingga RM250,000 berkeluasan 1,000 hingga 1,200 kaki persegi.

Pesaing terdekat Rumah Selangorku adalah projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dan Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) dengan tawaran harga jualan sehingga RM300,000

Daripada segi anggaran pendapatan, Rumah Selangorku dan PPA1M menjadi tumpuan golongan berpendapatan 0 hingga RM5,000 sebulan, sementara RUMAWIP dari 0 hingga RM10,000 sebulan.

Selain Selangor dan Kerajaan Persekutuan, Rumah Mampu Milik turut dalam perancangan pembinaan oleh Kerajaan Pulau Pinang, Sarawak, Johor serta Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

“Dengan peningkatan pembandaran, permintaan untuk perumahan formal juga akan meningkat. Masalah yang kita lihat sekarang di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang tidak lama lagi boleh berlanjutan ke negeri lain,” katanya.

rumah selangorku 2Menurut KRI, populasi rakyat Malaysia bakal mencecah lebih 32 juta menjelang 2020 dengan purata menjadi empat orang, atau 250 isi rumah bagi setiap 1,000 orang.

Bilangan isi rumah itu meningkat pada kadar lebih cepat berbanding pertumbuhan penduduk.

Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11) diumumkan Kerajaan Persekutuan menggariskan sasaran pembinaan 653,000 unit rumah mampu milik dalam tempoh Rancangan (2016-2020) atau purata 130,000 rumah dibina setahun.

Namun, sasaran itu tidak jelas sama ada dibuat berdasarkan kajian permintaan rumah mampu dimiliki atau sekadar mencukupkan kapasiti bekalan kerana secara purata hanya 60,000 rumah dilancarkan di pasaran dalam tempoh lima tahun lalu.

KRI berkata, masih terdapat beberapa polisi tidak mampan untuk jangka panjang seperti membenarkan pengguna melakukan pinjaman lebih besar sedangkan ia tidak mengurangkan kos perumahan, sebaliknya meningkatkan hutang isi rumah.

Kajian itu turut menyifakan subsidi kerajaan kepada pemaju pula sebagai sia-sia kepada kewangan kerajaan.

“Kami menyokong penubuhan pangkalan data bersepadu perumahan untuk memastikan bekalan perumahan sepadan dengan keperluan mengikut lokasi, harga dan kumpulan sasaran kumpulan.

“Buat masa ini, data sedia ada adalah terhad buat Kerajaan Negeri merancang pembinaan perumahan rakyat, bahkan ia perlu diperincikan mengikut faktor permintaan terutama di peringkat mukim.

“Rumah mampu milik bukan isu kebajikan. Ia adalah isu pokok yang disebabkan sektor perumahan tidak responsif,” katanya.

-AA-