Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Selangor kekal penyumbang KDNK tertinggi negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 15 OGOS: Selangor kekal menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tertinggi negara dengan perolehan 25 peratus.

Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata perolehan tersebut terus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai negeri termaju di Malaysia.

“Daripada segi pendapatan per kapita, kita mencapai taraf negeri maju, justeru Selangor perlu terus menapak kepada arena keadilan sosial melalui pelaksanaan dasar progresif.

Azmin-Rakyat“Kerajaan Negeri perlu melakukan kajian serius terhadap dasar sosial merangkumi perkhidmatan perbandaran dan luar bandar, kesihatan, pendidikan dan inovasi,” katanya pada sesi pembukaan Perbincangan Meja Bulat Belanjawan 2017, di Shah Alam Convention Centre, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Invest Selangor optimis kadar pertumbuhan KDNK negeri berkembang positif menerusi pembabitan pelaburan dari dalam dan luar negara.

Untuk tempoh 2010 hingga 2014, Selangor kukuh mendahului perolehan KDNK negara iaitu 22.4 peratus di atas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (15.1%), Sarawak (10.1%), Johor (9.3%) dan Sabah (6.5%).

Keseluruhannya, pertumbuhan KDNK negara berada pada kadar lima peratus dengan mengambil kira faktor kegawatan dan situasi ekonomi mencabar.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.