Categories
EKONOMI NASIONAL

NACP bukti kerajaan komited elak ketirisan wang

KUALA LUMPUR, 29 JAN: Pelancaran Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 yang dilancarkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bukti komitmen kerajaan dalam membendung ketirisan wang.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan Pakatan Harapan akan memastikan penjimatan wang dan dapat dimanfaatkan untuk pembangunan negara.

“NACP memperlihatkan bukti kesungguhan kerajaan membentuk eko-sistem yang akan memerangi segala bentuk rasuah dan salah guna kuasa untuk generasi akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor BERNAMA.

Berdasarkan laporan Global Financial Integrity dalam tempoh 2005-20147, Malaysia mencatatkan kira-kira RM1.8 trilion pengaliran keluar wang secara haram yang ditinggalkan kerajaan terdahulu.

NACP menggariskan enam strategi dan 115 inisiatif yang merangkumi tadbir urus yang baik, integriti dan anti rasuah.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan bertindak sebagai badan peneraju bagi pelaksanaan NACP manakala Pusat Governans, Integriti dan Anti Rasuah Negara (GIACC) pula akan memantau dan menilai keberhasilan serta pencapain pelan itu.

Mohamad Azmin berkata, kementeriannya juga bersedia memberikan komitmen dalam melaksanakan strategi dan inisiatif yang digariskan.

 

Categories
NASIONAL

Kerajaan mungkin tidak berupaya jual aset Felda pada harga menguntungkan

KUALA LUMPUR, 21 NOV: Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melahirkan kebimbangan bahawa kerajaan tidak berupaya menjual aset Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) pada harga yang menguntungkan.

Beliau berkata aset-aset itu sebelum ini dibeli dengan harga yang tinggi berbanding harga pasaran.

“Jadi ini adalah isunya walaupun jika memilih untuk menjana wang daripada aset, kita tidak boleh mendapat nilai sepenuhnya aset tersebut. Jadi inilah kebimbangan kita sekarang,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Mohamed Azmin sebelum ini dilaporkan berkata Felda akan menjual asetnya yang tidak strategik sebagai pelan pemulihan untuk mengurangkan beban hutang yang kini berjumlah RM8 bilion.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan akan mengambil langkah wajar bagi menjamin masa depan peneroka Felda setelah pembentangan Kertas Putih pengurusan Felda di Parlimen.

Beliau berkata Kertas Putih itu yang berada dalam fasa terakhir sebelum pembentangannya antara lain menyatakan penyata kewangan terkini Felda.

“Ia sangat serius. Saya sudah lihat draf interim namun kementerian masih mencari maklumat selanjutnya,” katanya.

Menurutnya, pembentangan Kertas Putih itu penting supaya warga peneroka dapat mengetahui masalah sebenar yang dihadapi Felda ketika ini.

SUMBER: BERNAMA

Categories
EKONOMI SELANGOR

Selangor tumpuan khas rancangan separuh penggal RMK-11

OLEH NADIAH ZAMLUS

KUALA SELANGOR, 9 NOV: Selangor akan menjadi tumpuan khas Kerajaan Persekutuan melalui Rancangan Separuh Penggal Malaysia Ke-11 (RMK-11).

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hal itu kerana Selangor menjadi penyumbang terbesar bagi ekonomi negara.

“Maka, peruntukan pembangunan Selangor akan dinaikkan daripada RM2.1 bilion kepada RM2.55 bilion pada 2019, sekali gus memperlihatkan penambahan sebanyak RM400 juta.

“Saya berharap melalui pertambahan peruntukan ini, maka Kerajaan Selangor akan memberi perhatian keutamaan kepada projek yang boleh mencipta nilai ekonomi,” katanya dalam ucapan Taklimat Pembangunan Selangor Anjung Utara dan Minum Petang, di Pekan Kuala Selangor, hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, enam negeri lain yang turut diberi tumpuan khas termasuk Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Dalam masa terdekat, Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan turun ke Selangor dan melihat serta menjayakan program pembangunan, di negeri ini,” katanya.

Turut hadir Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Azmie Diron dan Ketua Pegawai Operasi Pemerbadanan Menteri Besar Selangor, Soffan Affendi Aminudin.

Categories
NASIONAL

Contohi pemimpin berjuang tanpa guna wang dan kuasa

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 17 OKT: Pemimpin muda dinasihatkan supaya mencontohi perjuangan pemimpin lama yang menawarkan khidmat kepada rakyat tanpa perlu menggunakan wang atau kuasa.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, corak perjuangan itu harus dipertahankan kerana ia menjadi asas perjuangan parti sejak 20 tahun lalu.

“Saya mengajak anggota parti khususnya yang menawarkan khidmat, yang muda-muda ini supaya dapat ada kebijaksanaan untuk melihat bagaimana pengasas parti berjuang tanpa gunakan wang dan kuasa.

“Keadaan itu harus dipertahankan dalam perjuangan dan saya nak tegaskan KEADILAN terbentuk 20 tahun diasaskan perjuangan rakyat, menolak rasuah, politik wang serta salah guna kuasa,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Pertemuan Tertutup Taklimat RMK-11 d Parlimen.

Mengulas mengenai hasil perbincangan Mesyuarat Biro Politik KEADILAN semalam beliau berkata, proses pemilihan parti turut dibincangkan secara umum.

“Kita bincangkan secara umum tentang proses pemilihan mesti telus dan terbuka dan sebarang aduan diterima mesti disiasat Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP),” katanya.

Sebelum ini, timbul dakwaan politik wang berlaku secara berleluasa di enam negeri yang sudah mengadakan pemilihan KEADILAN 2018.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Pertumbuhan eknomi perlu seiring peningkatan kuasa beli rakyat

KUALA LUMPUR 8 OKT: Malaysia perlu melihat semula langkah mengimbangi ekonominya dengan melalui sektor baru yang boleh meningkatkan pelaburan langsung asing (FDI), menyediakan pekerjaan, melonjakkan kemampanan dan mempertingkat pengeluaran, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata selain itu sektor elektrik dan elektronik yang mengalami kelembapan eksport berbanding komoditi, juga perlu dikaji semula.

“Kita tidak memerlukan aliran masuk modal jangka pendek walaupun ia menggalakkan pasaran saham namun ia tidak mampan.

“Apa yang kita perlukan adalah FDI jangka panjang baru yang mampan bagi negara, dan teknologi tinggi merupakan cara untuk maju,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama di Forum Megatrends Khazanah 2018 bertema ‘On Balance: Recalibrating Markets, Firms, Society and People’ di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Azmin berkata sektor elektrik dan elektronik yang mencatatkan 60% daripada jumlah eksport pada awal 2000 susut kepada 40% setakat 2017, manakala komoditi yang hanya merupakan 13% daripada jumlah eksport meningkat kepada 20 peratus bagi tempoh yang sama.

Beliau berkata, Malaysia berpegang kepada kedudukan pertumbuhan ekonomi sebenar juga perlu seiring dengan peningkatan kuasa beli rakyat.

Oleh itu, pertumbuhan dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sahaja tidak boleh dianggap berjaya melainkan ia merealisasikan manfaat sebenar untuk rakyat, katanya.

“Kita perlu menangani jurang pertumbuhan di seluruh negeri serta pendapatan, khususnya kumpulan isi rumah berpendapatan 40% terendah (B40), pengangguran yang tinggi dalam kalangan belia serta kenaikan kos sara hidup,” katanya.

Azmin berkata, kerajaan kekal menekankan Malaysia perlu terus berkembang dan mengatasi perangkap berpendapatan pertengahan dalam usaha menjadi ekonomi berpendapatan tinggi dan maju.

“Malaysia masih terbelenggu dalam pendapatan pertengahan memandangkan kita belum mampu berubah ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi.

“Jelasnnya, setakat 2017, KDNK per kapita seperti yang dinilai dari segi dolar AS nominal susut kepada 9,944 daripada setinggi 11,183 pada 2014,” katanya.

SUMBER: BERNAMA

Categories
SELANGOR

Hukum parti sebantal dengan perasuah dan perompak

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 8 SEPT: Kerjasama politik antara PAS dan Umno menyebabkan parti itu gagal membuat pertimbangan tepat apabila sanggup memberi sokongan kepada pihak yang terbabit dengan rasuah serta merompak kekayaan negara.

Timbalan Presiden KEADILAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, menggesa pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia menghukum PAS kerana sanggup menyokong parti perasuah dan perompak.

“Berapa ramai golongan berpendapatan kecil, kos hidup naik dan kos pendidikan naik. Halimah tak nampak, sedangkan bulan terang benderang tetapi tak nampak sebab bantalnya sama, tilamnya sama, katilnya sama.

“Saya nak isytiharkan malam ini di hadapan rakyat Seri Setia, ayuh pertahankan prinsip mana-mana individu, kelompok, parti yang menyokong perasuah dan perompak mereka perlu dihukum. Kebumikan parti ini di DUN Seri Setia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Ceramah Grand Finale Pakatan Harapan (PAKATAN) PRK DUN Seri Setia, di sini, malam tadi.

Mohamed Azmin berkata, calon PAS, Dr Halimah Ali, sekali lagi melakukan kesilapan apabila memberi sokongan kepada pihak yang menyebabkan kehidupan rakyat terbeban ekoran pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan.

Ketika menyentuh pemilihan Halimey Abu Bakar sebagai calon PAKATAN, Mohamed Azmin menegaskan, beliau seorang anak muda yang sangat layak mewakili penduduk Seri Setia.

Katanya, selain sudah berkhidmat sebagai Ahli Majlis, Majlis Bandaraya Petaling Jaya selama hampir 10 tahun, namun ibu bapanya juga seorang yang sangat dihormati.

“Kita ada anak muda yang bukan satu dua hari kita kenal. Buat apa nak pilih orang yang baru 21 hari baru nak perkenalkan diri di sini, sedangkan kita ada anak muda yang dah dua dekad berjuang, di sini,” katanya.

Categories
SELANGOR

Azmin: Hasrat MCA bela rakyat sudah terlambat

OLEH HAFIZAN TAIB

BALAKONG, 8 SEPT: Pengundi perlu menolak MCA dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong hari ini kerana kegagalan membela rakyat ketika memegang tampok kuasa.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, hasrat disuarakan calon parti itu, Tan Che Teong untuk memainkan peranan sebagai pembangkang berkesan kepada kerajaan dianggap tidak bermakna lagi.

“Ketika berkuasa, mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, curi wang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berbilion ringgit awak diam dan tiada ‘check and balance’. Masa Umno bawa politik perkauman, awak diam dan tiada ‘check and balance’.

“Sekarang baharu mahu laksanakan ‘check and balance’. Tiada jalan dan sudah terlambat untuk MCA,” katanya pada Grand Finale PRK Balakong, di sini, malam tadi.

Sehubungan itu, beliau berkata, pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong perlu mengekalkan Pakatan Harapan di kawasan itu dan menolak MCA seperti sebelumnya.

Katanya, perubahan pentadbiran kerajaan di peringkat Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-14 adalah bukti rakyat inginkan perubahan seperti dinikmati penduduk Selangor, sejak 2008.

“Kita di Selangor berasa gembira dengan sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan (PAKATAN) kerana orang Melayu, Cina dan India rasa selamat, terbela serta mendapat perlindungan.

“Dasar PAKATAN di peringkat nasional dan negeri perlu adil kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama atau etnik mereka,” katanya.

PRK Balakong diadakan hari ini menyaksikan satu lawan satu antara calon PAKATAN, Wong Siew Ki dan calon MCA, Tan Chee Teong.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Bela Bumiputera untuk masa depan negara, bukan aniaya kaum lain

OLEH AFIX REDZUAN

KUALA LUMPUR, 1 SEPT: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menjelaskan beliau tidak bersikap apologetik untuk menegaskan Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara 2018; Mendepani Cabaran Bumiputera Dalam Malaysia Baharu bertujuan untuk mencari jalan membela nasib Bumiputera.

Katanya, kongres ini bukan untuk membincangkan perihal satu kaum dan menganiaya kaum lain tetapi ia membicarakan masa depan negara serta memastikan pengagihan kekayaan ekonomi yang adil buat semua.

“Kita menyedari bahawa 71 peratus daripada kumpulan B40 adalah golongan Bumiputera. Peratusan itu bukan sahaja mencatatkan jumlah yang besar namun purata pendapatan isi rumah Bumiputera hanya mencatatkan RM2,400 berbanding bukan Bumiputera RM3,400.

“Hasrat kita adalah mencari usaha bagaimana golongan B40 Bumiputera boleh diberdayakan untuk memasuki kelas menengah.

“Ini akan meningkatkan kuasa beli Bumiputera, menjana pertumbuhan mampan dan akhirnya memberikan manfaat kepada ekonomi negara secara keseluruhannya,” katanya.

Berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), beliau turut membangkitkan persoalan sama ada menjadi satu kesalahan kepada kongres untuk memberdaya golongan Bumiputera yang berintegriti, berkemahiran dan progresif demi kemakmuran negara.

Dalam sidang media sama beliau turut yakin dengan keupayaan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memberikan pandangan memberdaya ekonomi Bumiputera berdasarkan pengalaman dalam kerajaan serta menerajui pelbagai kementerian dahulu.

“Untuk menjayakan matlamat ini kita memerlukan sokongan dan dokongan dari semua pemegang taruh. Letakkan harapan kepada mereka yang layak. Harapan itu akan digalas dengan jujur dan amanah oleh Kerajaan Baru Pakatan Harapan.

“Saya telah berkhidmat dengan Anwar Ibraham sekian lama. Saya tahu jiwanya, saya tahu wataknya, saya tahu siapa Anwar bin Ibrahim.

“Sebab itulah saya setia bersama beliau sampai hari ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Azmin selesai lawatan kerja ke Singapura

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 30 OGOS: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali selesai mengadakan lawatan kerja ke Singpura dan bertemu Perdana Menteri, Lee Hsien Loong bertempat di The Istana, hari ini.

Pertemuan itu bukan sahaja membincangkan perkara dua hala, namun meluaskan isu serantau berkenaan bagaimana Malaysia serta Singapura sebagai negara maju dapat memanfaatkan kekuatan bersama untuk memainkan peranan utama memajukan Asean di peringkat global.

Dalam ucapan hormatnya kepada Lee, Mohamed Azmin berkata, cara terbaik untuk meningkatkan hubungan dua hala dengan kerajaan Pakatan Harapan baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah menerusi tadbir urus, akauntabiliti dan ketelusan yang baik adalah sentuhan utama.

Mohamed Azmin berkata, berdasarkan nilai positif seperti itu, Dr. Mahathir meletakkan kepentingan penting dalam meningkatkan hubungan dua hala dengan Singapura.

Pada masa sama, Lee mengucapkan tahniah kepada Dr Mahathir dan rakyat Malaysia sempena perayaan Merdeka esok.

Lee berkata, beliau melihat secara positif kepimpinan Dr Mahathir dan yakin bahawa projek HSR akan selesai sebaiknya.

Terdahulu, Mohamed Azmin memulakan pertemuan dengan bersarapan bersama Menteri Luar Negeri Singapura, Dr Vivian Balakrishnan bagi membincangkan pelbagai isu termasuk kebimbangan geopolitik.

Kemudian, Mohamed Aazmin bertemu dengan Menteri Penyelaras Infrastruktur dan Menteri Pengangkutan, Khaw Boon Wan membincangkan mengenai Projek Rel Kelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR).

Sementara itu, Mohamed Azmin sempat makan tengah hari bersama Menteri Perdagangan dan Industri, Chan Chun Sing.

Difahamkan, dalam pertemuan itu mereka berbincang mengenai bagaimana untuk memanfaatkan kekuatan dua negara dalam meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan berkongsi pandangan mengenai integrasi Asean dengan lebih mendalam.

Manakala, pada sebelah petang, Mohamed Azmin menyampaikan hormat kepada Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara, Teo Chee Hean.

Categories
EKONOMI NASIONAL

Projek infrastruktur babitkan penyertaan asing hanya beri keuntungan kepada orang luar

KUALA LUMPUR 30 OGOS: Projek infrastruktur mega membabitkan penyertaan pihak asing dan membebankan kewangan negara hanya memberi keuntungan kepada orang luar, bukannya peniaga serta rakyat tempatan, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Katanya, status projek berkenaan dibincangkan pada mesyuarat pembangunan fiskal negara pada Rabu yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Ini sedang kita semak. Ada yang mungkin batal. Ada yang akan ditangguhkan sehinga ekonomi negara pulih,” katanya dalam wawancara di TV1, malam tadi.

Bagaimanapun tegasnya, projek yang “people centric” (berasaskan rakyat) akan diteruskan seperti pembinaan jalan raya, jambatan dan bekalan elektrik.

Sebelum ini, Dr Mahathir berkata, kerajaan sedang mengkaji sama ada menangguhkan atau mencari kaedah lain untuk melaksanakan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Bagi projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) pula, perbincangan antara Singapura dan Malaysia untuk menangguhkannya sedang berjalan.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Azmin berkata, peranan sesetengah agensi harus diteliti atau disemak semula kerana sudah terpesong dari agenda asal penubuhannya.

“Apa yang berlaku ialah, pengurusan menjadi lebih berminat dengan perkara lain sehingga matlamat mereka tidak sampai kepada kumpulan sasar,” katanya.

Tambahnya lagi, menyemak semula adalah penting untuk mengurangkan kos operasi yang menelan belanja besar.

Dalam wawancara itu, beliau juga berkata, jurang antara golongan elit Bumiputera dengan kumpulan B40 harus dirapatkan.

Katanya, menurut perangkaan tahun 2014, pendapatan individu antara kaum adalah hampir sama iaitu satu per tiga daripada keluaran dalam negara kasar.

Namun, pendapatan bagi T20 golongan Bumiputera ialah 2.5 kali ganda daripada golongan B40.

“Sekiranya masalah ini tidak ditangani, ia akan mewujudkan persekitaran yang tidak kondusif,” katanya.

Wawancara itu turut membincangkan mengenai Kongres Masa Depan Bumiputera dan Negara yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Sabtu ini yang akan dirasmikan oleh Perdana Menteri dan dijangka dihadiri 2,000 pihak berkepentingan ekonomi Bumiputera.

SUMBER: BERNAMA

Categories
NASIONAL

Kongres Masa Depan Bumiputera & Negara bermula 1 September

OLEH NADIAH ZAMLUS

SHAH ALAM, 27 OGOS: Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan menganjurkan Kongres Masa Depan Bumiputera & Negara 2018 (KBN 2018), bermula 1 September ini.

Menterinya, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, KBN 2018 menjadi wacana kepada usaha kerajaan untuk menggubal Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera baharu.

Katanya, kongres itu juga bagi mengenalpasti fokus bidang pertumbuhan baru untuk diceburi bumiputera.

“Di samping itu, ia bagi menjalin kerjasama strategik pelbagai pihak dalam usaha menyokong agenda pembangunan ekonomi bumiputera.

“Kongres ini juga akan memberi penekanan nilai positif, moral dan etika serta memberi fokus kepada soal pendidikan juga modal insan, pembentukan strategi selain penciptaan kekayaan,” katanya dalam kenyataan.

Mohamed Azmin berkata, kerajaan juga akan memberi keutamaan terhadap perkembangan Perusahaan Kecil dan Sederhana untuk meningkatkan aktiviti dalam rantaian nilai.

“Kongres ini bermatlamat supaya hala tuju agenda ekonomi bumiputera lebih jelas dan berkesan.

“Kerajaan juga yakin usaha ini akan meletakkan keyakinan bahawa bumiputera mampu menerajui ekonomi negara dan secara langsung akan menjamin kemakmuran negara serta kesejahteraan semua rakyat Malaysia,” katanya.

Categories
NASIONAL

Mohamed Azmin serah borang pencalonan Timbalan Presiden KEADILAN

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 5 OGOS: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali disahkan mempertahankan kerusi Timbalan Presiden KEADILAN yang disandangnya sejak 2010.

Borang pencalonan beliau diserahkan oleh wakilnya, Dato’ Menteri Besar yang juga calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP), Amirudin Shari dan calon Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham kira-kira jam 4.45 petang.

Pencalonan beliau dicadang oleh Mohd Hilman Idham dan disokong oleh Amirudin.

Sebelum ini, seorang lagi calon turut menghantar borang pencalonan bagi kerusi Timbalan Presiden iaitu bekas Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menjadikan satu lawan satu.

Mohamed Azmin mula menduduki kerusi Timbalan Presiden pada 2010 selepas menewaskan pencabarnya, Datuk Zaid Ibrahim.

Pada Pemilihan KEADILAN 2014, beliau sekali dicabar bagi mempertahankan kerusi sama.

Bagaimanapun, pada pertandingan tiga penjuru itu, Mohamed Azmin berjaya menewaskan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Datuk Saifuddin Nasution.

Pada 2014 beliau dilantik sebagai Dato’ Menteri Besar Selangor bagi menggantikan Abdul Khalid.

Selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) beliau sekali lagi dilantik sebagai Menteri Besar sebelum meletakkan jawatan apabila diberi tanggungjawab sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.