Categories
NASIONAL

UNISEL peneraju kajian Melayu terkemuka serantau

OLEH ERMIZI MUHAMAD

PEKANBARU, 19 OGOS: Universiti Selangor (Unisel) mengukuhkan kedudukannya menerajui bidang pendidikan berteraskan pengajian bahasa dan bangsa terkemuka di rantau ini.

Komitmen itu dizahirkan menerusi penubuhan Institut Kajian Malaysia-Indonesia yang berperanan menghimpunkan kajian berteraskan Melayu antara kedua negara.

Dekan Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial Unisel, Profesor Dr Mohd Zaidi Mohd Hajazi, berkata pelaksanaannya tertumpu kepada inisiatif mengukuhkan peranan bangsa Melayu serantau di Malaysia dan Indonesia.

“Fokusnya ke arah penyelidikan antara dua negara merangkumi disiplin politik, sains sosial, teknologi yang menjadi landasan terbaik untuk mempertemukan ahli akademik.

“Pastinya, penyelidikan dibuat ahli akademik dan penggiat bahasa ini akan menjadi manfaat terbaik kepada Selangor khususnya Malaysia dan Indonesia,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata, kajian terhadap penyelidikan bahasa dan bangsa Melayu menjadi momentum terbaik sekali gus merungkai elemen serumpun antara kedua negara.

UNISEL 1“Hubungan Malaysia dan Indonesia ini agak unik. Faktor sejarah itu sendiri mengatakan hampir 50 peratus asal usul orang Malaysia adalah dari Indonesia.

“Jadi hubungan darah dan serumpun ini sememangnya tidak boleh dipisahkan kerana ia sudah lama terjalin dan perlu dikekalkan,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Zaidi yang juga Pengarah IKMI berkata, jurang pendidikan diyakini mampu menyumbang kepada penyatuan antara budaya dan negara bangsa sejagat.

“Pendidikan itu tidak terhad, sebaliknya meliputi semua aspek dan bersifat terbuka kerana komponen itu menjadi penyatuan kepada perkembangan sesebuah kerajaan,” katanya.

-AA-

Leave a Reply

Your email address will not be published.