Categories
SELANGOR

MB: PBT perlu waspada kekang virus Zika

OLEH NORHAYATI UMOR

IJOK, 3 SEPT: Semua pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta bersedia dan berwaspada penularan virus Zika yang dikenal pasti membabitkan seorang warga Klang.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata PBT perlu meneruskan usaha membasmi denggi dengan lebih berkesan.

Katanya, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sudah berbincang dan pastinya Exco Kesihatan akan lakukan yang terbaik.

“Kita mengambil tindakan sepertimana kita lakukan bagi mengurangkan wabak denggi.

“Oleh itu, kita teruskan semua usaha-usaha ini dengan lebih berkesan.

“Saya mahu semua PBT bersedia dan berwaspada dalam isu ini,” katanya kepada pemberita.

Mohamed Azmin berkata selain kawasan perumahan, PBT perlu mengambil tindakan tegas kepada pemaju yang cuai di tapak pembinaan yang dikhuatiri menjadi punca penyebaran denggi.

Semalam, Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil langkah proaktif dalam usaha memerangi denggi sekali gus mengawal penularan virus Zika di kawasan pentadbirannya.

Pengarah Jabatan Kesihatan MPK, Azmi Muji berkata, pihaknya mula menjalankan pemeriksaan dan pembersihan tempat pembiakan virus di rumah pesakit Zika juga sekitar kediaman pesakit.

EZY