Categories
SELANGOR

Pelebaran jambatan Sungai Kundang, elak kemalangan berulang

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUANG, 3 SEPT : Pelebaran Jambatan Gantian Sungai Kundang, di sini bakal memberikan manfaat jangka panjang kepada penduduk setempat.

Exco Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani Selangor, Zaidy Abdul Talib, berkata RM10 juta diperuntukkan sebagai komitmen Kerajaan Negeri memastikan tiada insiden berulang di kawasan terbabit sebelum ini.

“Kita maklum faktor jambatan agak sempit ini menjadi punca kepada berlakunya kemalangan melibatkan beberapa kenderaan yang jatuh di tebing sungai.

“Jadi projek naik taraf ini dilihat mampu memberi kemudahan dan terbaik kepada pengguna jalan raya selepas kita memperlebarkan keluasan jabatan ini,” katanya kepada Selangorkini.

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Program Infratani Peringkat Dun Kuang, di sini yang turut dihadiri Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen.

SelangorKini difahamkan, keluasan jambatan tersebut sebelum ini hanya berkeluasan sekitar 5 meter, dan menyukarkan pengguna jalan raya yang melalui kawasan tersebut.

Sehingga kini, proses rekabentuk jambatan baru sedang giat dilaksanakan dan proses pembaikan akan dipercepatkan sebelum tempoh Januari depan.

“Kita percepatkan projek ini menerusi lantikan tender terbuka yang akan dibuat selepas tempoh rekaan selesai,” katanya.

Sebelum ini, wujudnya juga dakwaan daripada media Umno yang mendakwa kononnya Kerajaan Negeri tidak memberi tumpuan terhadap permasalahan tersebut.

Ia susulan laporan portal pro-Umno, SelangorPost dan TV3 yang cuba memainkan isu berkenaan bagi menyerang pentadbiran Kerajaan Negeri.

Membidas laporan tersebut, Zaidy yang juga Ahli Dewan Negeri Taman Templer berkata, perancangan terhadap projek berkenaan sudah digerakkan terlebih awal.

“Isu itu sengaja dimainkan, sedangkan Kerajaan Negeri memang fokus dan giat menjalankan penelitian dari sudut bajet dan keutamaan projek lain.

“Namun untuk tempoh ini, kita telah bersedia untuk laksanakan projek ini demi manfaat pengguna,” katanya.

EZY