Categories
SELANGOR

Penantian 17 tahun peneroka Rancangan Revolusi Hijau berakhir

OLEH NORHAYATI UMOR

IJOK, 3 SEPT: Penantian selama 17 tahun buat peneroka Rancangan Revolusi Hijau untuk menerima rumah berakhir apabila diberikan sijil kelayakan hak milik.

Tambah manis apabila sijil terbabit diserahkan sendiri oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali di Galeri EcoWorld, di sini hari ini.

Ketua Penduduk, Omar Basha, menyifatkan ia sebagai peristiwa istimewa apabila penantian 17 tahun itu terlaksana.

“Perasaan gembira menyelubungi hati saya hari ini apabila impian untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai jua melalui sokongan Kerajaan Negeri.

“Saya berharap syarikat yang diberikan kepercayaan itu dapat menyiapkan rumah dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada semua pihak kerana menerima permintaan penduduk.

“Apa yang menyedihkan lebih 100 penduduk sudah meninggal dunia dalam menanti rumah impian mereka.

“Saya juga meminta peneroka yang menerima rumah ini menjaga aset mereka dengan baik kerana bukan mudah memilikinya masa kini,” katanya.

Sementara itu, Miskam Sulaiman, 70, berharap dapat merasai tinggal di rumahnya sendiri sebelum ajal tiba.

“Sudah terlalu lama kami tunggu untuk rumah ini. Saya harap kali ini tidak tertangguh lagi.

“Ramai kawan-kawan terpaksa menyewa dan kembali ke kampung.

“Harapnya, dengan pemaju yang mempunyai rekod baik ini, rumah kami siap,” katanya.

EZY