Categories
SELANGOR

Teruja terima bantuan, ringan beban sambut Aidiladha

OLEH SYASYA SUFIAN

GOMBAK, 7 SEPT: Ketibaan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi membawa keceriaan kepada penerima sumbangan yang disampaikan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Datin Seri Shamshida Taharin di sekitar Gombak, hari ini.

Ibu tunggal, Norlaili Jamaluddin, 47, berkata beliau bersyukur dan teruja bertemu isteri Dato’ Menteri Besar itu yang menyampaikan sendiri sumbangan tersebut.

“Alhamdulillah, pemberian ini cukup besar maknanya kepada golongan asnaf seperti saya dalam meringankan beban menyambut hari raya nanti.

IMG_2378“Dapatlah saya beli barang keperluan dapur untuk memasak makanan yang sedap berbanding hari biasa kerana adakala makan biskut sahaja,” katanya.

Sementara itu, Halim Saad, 47, turut bersyukur menerima sumbangan itu kerana dapat membantu beliau dan isteri membuat persiapan menyambut Aidiladha.

“Setiap bulan kami turut menerima bantuan rumah sewa daripada Lembaga Zakat Selangor sebanyak RM600.

“Namun kerana saya mempunyai tanggungan 10 anak, maka agak memerlukan perbelanjaan yang lebih,” katanya.

Suri rumah, Nur Haslina Zulkiply, 33, berkata beliau berterima kasih kepada penyumbang kerana pemberian berkenaan dapat meringankan beban kewangan golongan asnaf sepertinya.

-NFN-