Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Pencemaran LRA Semenyih berpunca dari Nilai

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 24 OKT: Pencemaran yang berlaku di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih didakwa berpunca dari Nilai, Negeri Sembilan.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong dalam satu kenyataan berkata, bau luar biasa daripada hulu jalan air di Nilai dikesan mengalir ke Sungai Buah yang menghala ke muka sauk Semenyih.

“Dua pasukan pemantau sungai Air Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) telah menjejak bau sepanjang Sungai Buah sejak pagi semalam untuk mengenal pasti punca pencemaran.

eli“Mereka turut disertai pasukan pemantau Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) pada sebelah petang (semalam). Pada jam 4.00 petang, air sungai masih berbau dan segala usaha masih dijalankan untuk mengenal pasti punca pencemaran.

“Pencemaran dalam sungai disahkan berpunca dari Nilai, Negeri Sembilan. Ikan mati juga telah kelihatan dalam sungai di sekitar kawasan Nilai,” katanya.

Elizabeth berkata, maklumat telah dimaklumkan kepada Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan melalui Jabatan Alam Sekitar Selangor dan Lembaga Urus Air Selangor.

Katanya, akibat pencemaran itu kawasan di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang sedang mengalami gangguan bekalan air hingga memaksa LRA ditutup selepas pencemaran bau air sungai, pada jam 7:30 pagi semalam.

Kawasan utama yang mengalami gangguan bekalan air adalah seperti berikut:

• Daerah Hulu Langat: Bangi, Bandar Bukit Mahkota, Kajang, Semenyih dan Rinching

• Daerah Kuala Langat: Morib, Banting, Bandar Saujana Putra, Bandar Rimbayu dan Telok Panglima Garang

• Daerah Petaling: USJ 1- 27, Puchong, Seri Kembangan dan Serdang.

• Daerah Sepang: Putrajaya, Cyberjaya dan Bandar Nusa Putra

• Heights, Pulau Meranti, Kota Warisan, Bandar Bukit Puchong dan Sungai Merab

-NFN-