Categories
NASIONAL

Realiti kebajikan atlet kaum India wajar diiktiraf

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA LUMPUR, 17 OKT : Sumbangan dan jasa atlet kaum India yang mengharumkan nama negara perlu mendapat perhatian Kerajaan Persekutuan, kata Ahli Parlimen Kapar, G Manivannan.

Beliau berkata, aspek kebajikan dan insentif berterusan perlu diberikan seiring ketetapan terhadap atlet lain sebagai sumbang saran menghargai kaum itu.

“Walau apapun insentif dan program perancangan di peringkat Kementerian, adalah sewajarnya atlet berbangsa India tidak dilupakan,” katanya mencelah sesi perbahasan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin di Dewan Rakyat, petang ini.

Sebelumnya, Khairy memaklumkan pelbagai program jangka panjang giat dibangunkan di bawah kementeriannya termasuk pengiktirafan dan insentif berterusan kepada atlet negara.

Bagaimanapun, Manivannan berkata, tumpuan berkenaannya perlu diselaraskan ke arah melahirkan lebih ramai atlet berdaya saing di peringkat antarabangsa.

“Saya cadangkan supaya kementerian mengambil khidmat tenaga mahir dari luar bagi tempoh lama untuk membantu meningkatkan peluang pembangunan sukan negara.

“Ini termasuk melantik syarikat tertentu untuk tempoh yang bukan sekadar penganjuran temasya tertentu sahaja,” katanya.

-AA-