Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Tiada polisterin, beg plastik di Selangor tahun depan

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 1 OKT: Kerajaan Negeri mula mengedarkan maklumat pekeliling kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) sejak pertengahan tahun ini terhadap larangan penggunaan beg plastik dan polisterin di Selangor, mulai tahun depan.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, keputusan terbabit selaras komitmen menjadikan negeri itu sebagai peneraju karbon rendah di Malaysia.

“Antara garis panduan yang perlu dipatuhi semua PBT melalui pekeililing ini adalah pelaksnaaan pengurangan beg plastik dan larangan penggunaan polisterin.

“Semua beg plastik tidak dibenarkan untuk diberi secara percuma serta menghentikan penggunaan bekas makanan dan polisterin di semua premis kerajaan juga majlis rasmi Kerajaan Negeri,” katanya.

yb eli-web 5Beliau berkata demikian pada Majlis Program Jelajah Kepenggunaan dan Alam Sekitar peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), di Dewan Melati Seksyen 7, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Elizabeth berkata, penggunaan ‘biodegrable bag’ dibolehkan bagi tujuan bungkusan makanan dan perniagaan sebagai alternatif kepada larangan penggunaan plastik juga polisterin.

“Produk ini adalah daripada jenis mesra alam dan bermanfaat, namun keutamaannya untuk menggalakkan pengguna membawa bekas makanan atau beg sendiri.

“Usaha ini diyakini mampu menjadi contoh terbaik ke arah mewujudkan kestabilan teknologi hijau dan wajar dicontohi semua pihak,” katanya.

-AA-