Categories
SELANGOR

250 pokok buah nadir ditanam di Tama Tasik Cempaka

OLEH NORHAYATI UMOR

BANGI, 12 NOV: Sebanyak 250 pokok jenis buah nadir ditanam di Taman Tasik Cempaka yang berkeluasan 2.8 ekar menerusi program ‘Pledge and Plant A Tree’.

Presiden Pertubuhan Perancang Malaysia, Md Nazri Noordin berkata, ia bertujuan meningkatkan kesedaran di kalangan perancang bandar, golongan profesional, pemaju dan komuniti kepentingan pokok dalam persekitaran.

Katanya, program terbabit juga tanda sokongan dan komitmen terhadap pembangunan mampan dan usaha mewujudkan persekitaran dan gaya hidup sihat.

“Program kali ini, berjaya mengumpulkan sejumlah 400 pokok yang mana 250 daripadanya ditanam selebihnya di tapak lain oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

“Inisiatif ini dijangka membeli ‘off-set’ pelepasan karbon sejumlah anggaran 5,600 kg karbon,” katanya selepas perasmian program terbabit, di sini.

Program terbabit dirasmikan oleh Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong.

Hadir sama Yang DiPertua Majlis Perbandaran Kajang, Sayuthi Bakar dan Ahli Dewan Negeri Bangi, Shafei Ngah.

Nazri berkata program terbabit merupakan kali ke tujuh yang dianjurkan bersama Pertubuhan Perancang Malaysia di seluruh negara.

“Untuk pertama kali, penanaman ini membabitkan buah-buahan nadir iaitu buahan jarang ditanam secara komersial dan sukar ditemui.

“Antaranya, rambai, sentol, tampor, kedondong, kayu manis, asam keping dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Sayuthi berkata MPKj merangka satu Pelan Induk Landskap berkonsepkan jaringan landskap alam semulajadi berteraskan budaya ilmu.

Katanya, dalam pelan itu, Taman Tasik Cempaka dipilih sebagai taman rekreasi utama bagi penduduk sekitar kawasan selatan.

“Jaringan hijau yang menghubungkan taman ini ke kawasan komersial dan sekitar kawasan Bandar Baru Bangi diwujudkan bagi meningkatkan nilai estetik dan kualiti landskap sedia ada,” katanya.

EZY