Categories
SELANGOR

Bekalan air KL tutup ekoran paip pecah

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 NOV: Bekalan air di sekitar Kuala Lumpur terpaksa dihentikan sementara waktu ekoran insiden paip pecah di Plaza Sapuan, Jalan Raja Alang Chow Kit.

Air Selangor menerusi kenyataannya di Facebook berkata, kerja pembaikan sedang giat dilakukan secara berperingkat ketika ini.

“Pemakluman penutupan sementara bekalan air ekoran insiden kejadian paip pecah bagi pelaksanaan kerja pembaikan.

“Kawasan terlibat adalah di Jalan Raja Alang dan bekalan akan dibuka sejurus kerja pembaikan dijangka siap, pada jam 6.00 petang ini.

“Segala kesulitan amat dikesali dan sila muat turun aplikasi mySYABAS atau ikuti kami di Facebook Puspel Syabas atau Facebook Air Selangor untuk info terkini,” katanya.

Petugas Air Selangor dan SYABAS kini berada di lokasi kejadian dan sebuah jentolak juga beroperasi bagi tujuan pembaikan paip.

Dalam isu berasingan, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) sudah memulakan operasi LPA Ampang Intake, pada jam 3.15 semalam selepas operasinya terpaksa dihentikan ekoran peningkatan kekeruhan air Sungai Ampang.

-AA-