Categories
SELANGOR

Selangor tawar biasiswa pengajian PHD luar negara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 11 NOV: Kerajaan Negeri membuka peluang kepada inidividu berkelayakan untuk memohon Selangor Brain Bank bagi pembiayaan pendidikan di luar negara.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, tawaran itu terbuka kepada pengajian pendidikan peringkat doktor falsafah (PHD), pada sesi 2017.

“Mereka yang berminat melanjutkan pengajian dalam bidang PhD di luar negara boleh memohon biasiswa ini dengan melayari melayari www.tkwbns.selangor.gov.my,” katanya di Facebook.

Tawaran terbuka kepada rakyat Selangor dan penjawat awam berstatus tetap atau kontrak di bawah pentadbiran Kerajaan Negeri untuk tempoh lima tahun sebelum atau pada 31 Januari 2017.

Permohonan perlu dikemukakan melalui Ketua Jabatan dan tertakluk kepada peraturan perkhidmatan awam yang sedang berkuatkuasa.

NIK-NAZMiIndividu yang berkhidmat di sektor swasta negeri untuk tempoh lima tahun juga digalakkan memohon dengan mendapatkan surat pengesahan majikan.

Keutamaan diberikan kepada calon yang mahir dan menguasai lebih daripada satu bahasa antarabangsa.

Tawaran dibuka hanya untuk pengajian sepenuh masa di 50 universiti terkemuka luar negara yang tersenarai di QS World University Ranking.

Pemohon yang berjaya akan disenarai pendek untuk ditemuduga, sementara permohonan yang tidak mendapat maklum balas dalam tempoh sebulan selepas tarikh tutup dianggap tidak berjaya.

-AA-