Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Misi pelaburan di Jepun kukuh agenda ‘Smart State’

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 24 NOV: Selangor meningkatkan kerjasama serantau bersama Jepun menerusi misi pelaburan Kerajaan Negeri dan Invest Selangor bagi rangka kerja pengukuhan agenda Smart Selangor di Tokyo.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali bersama delegasi Kerajaan Negeri yang turut disertai Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Khim, tiba di Tokyo, pagi ini.

Lawatan kerja dimulakan ke Fujisawa untuk melihat sendiri perkembangan teknologi bandar pintar yang diaplikasikan di kawasan itu.

Menulis di Facebook, Mohamed Azmin berkata, kemajuan Fujisawa boleh diterjemahkan secara konsisten di Selangor.

“Lampu jalan dan penggunaan alatan pencegahan sebagai kaedah mengesan jenayah serta meningkatkan keamanan komuniti setempat sungguh mengagumkan dan boleh dipertimbangkan secara serius di Selangor.

image-1“Pelaksanaan kaedah ini dengan mengambil inisiatif pelaksanaan Smart Selangor boleh dilaksanakan secara praktikal di Selangor,” katanya.

Kerajaan Negeri sebelum ini giat merintis pembangungan agenda Smart Selangor menerusi jalinan kerjasama hubungan pelaburan serantau dengan negara luar.

Keberkesanan itu diyakini mampu meningkatkan penjanaan ekonomi lebih mampan dan berdaya saing seiring hasrat menjadikan Selangor sebagai negeri pintar berpaksikan cabaran urbanisasi menggunakan teknologi sebagai ‘key enabler’.

-AA-