Categories
SELANGOR

Pesta Morib kembali meriahkan Kuala Langat

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 24 NOV: Orang ramai dijemput memeriahkan Pesta Morib dan Karnival Udara Selangor 2016 yang bakal berlangsung di Pantai Morib, hujung minggu ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, MDKL optimis menganjurkan acara itu memandangkan pesta terbabit sudah terlalu lama tidak dianjurkan.

Katanya, MDKL turut berharap kegemilangan Pesta Morib dapat dikembalikan dan mampu menarik lebih ramai pengunjung untuk berkunjung ke situ.

“Pesta Morib yang begitu sinonim dalam kalangan pengunjung suatu ketika dahulu akan menyajikan pertandingan tarik tali, pertunjukan wau, pertandingan gusti lengan, Battle Of The Band dan banyak lagi,” katanya dalam kenyataan.

Mohd Azhar berkata, pesta itu bakal diserikan dengan karnival udara antaranya pertunjukan drone, paramotor, giant kite, stunt kite, paragliding dan belon udara panas.

MDKLPada masa sama, beliau berkata, penganjuran Jugra International Paragliding Accuracy Championship 2016 (JIPAC) juga bakal berlangsung pada hari sama di Bukit Jugra bermula jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang.

“Dianggarkan lebih daripada 40 peserta dari dalam dan luar negara akan menyertai kejohanan kali ini.

“Justeru, kita berharap penduduk di negara ini khususnya di sekitar Lembah Klang dapat hadir beramai-ramai serta memeriahkan Pesta Morib 2016,” katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Jabatan Belia Dan Kemasyarakatan MDKL di talian 03-3180 3140.

-AA-