Categories
NASIONAL

Banjir: 15 sekolah Kelantan & 25 sekolah Terengganu ditutup

KOTA BHARU 31 DIS: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan menangguhkan hari pertama sesi persekolahan 2017 bagi 13 sekolah rendah dan dua sekolah menengah di daerah Kuala Krai, Tanah Merah dan Jeli esok berikutan laluan ke sekolah terbabit ditenggelami banjir.

Pengarahnya, Jaafar Ismail, berkata jumlah itu merangkumi lapan sekolah di daerah Kuala Krai, lima sekolah di daerah Tanah Merah dan dua sekolah daerah Jeli.

Lapan sekolah terbabit di daerah Kuala Krai ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Pemberian, SK Karangan, SK Bahagia, SK Ladang Taku, SK Kuala Nal, SK Pasir Gajah, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Pasir Gajah dan SK Pasir Kelang.

“Lima sekolah di daerah Tanah Merah ialah SK Sokor, SK Kampung Panjang, SK Ladang Kerilla, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ladang Kerilla dan SK Kulim manakala di daerah Jeli ialah SK Kuala Balah dan SMK Kuala Balah,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira keselamatan guru dan pelajar sekolah yang mungkin berdepan bahaya banjir jika hadir ke sekolah esok.
KUALA TERENGGANU: Sebanyak 25 buah sekolah di tiga daerah di negeri ini tidak dapat beroperasi pada hari pertama sesi persekolahan 2017 esok, berikutan banjir yang melanda sejak awal pagi tadi.

Penangguhan sesi persekolahan itu membabitkan hampir 3,392 pelajar dan 490 guru di daerah Marang, Hulu Terengganu, dan Setiu.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Shafruddin Ali Hussin, berkata daerah paling teruk terjejas ialah Hulu Terengganu apabila 22 sekolah iaitu 19 sekolah kebangsaan (SK) dan tiga sekolah menengah (SMK) terpaksa ditutup akibat banjir.

Katanya, antara sekolah yang ditutup di Hulu Terengganu adalah SK Tengkawang; SK Kuala Ping; SK Teris; SK Kuala Jenderis; SK Padang Setebu; SK Matang; SK Sungai Buloh; SK Sungai Berua; SK Batu Tadok; SK Lubok Periuk; SK Nibong; SK Kua; SK Felda Mengkawang; SK Betong; SK Pereh; SK Felda Tersat; SK Menerong; SK Cheting; SK Padang Setar; SMK Menerong; SMK Kuala Jenderis dan SMK Tun Indera.

“Dua lagi sekolah yang ditutup esok adalah di SK Sentol Patah di Marang dan SK Merbau Menyusut di Setiu. Sekolah terbabit terpaksa ditangguh sesi persekolahan mereka akibat beberapa faktor antaranya disebabkan dinaiki air, terputus hubungan selain dijadikan Pusat Penempatan Sementara mangsa banjir,” katanya lapor BH Online.

Beliau berkata, sekolah hanya beroperasi semula apabila banjir mula reda dan keadaan pulih seperti biasa.

“Saya ingin sambil menasihatkan ibu bapa supaya sentiasa prihatin dengan perkembangan situasi semasa di kawasan masing-masing,” katanya.

=EZY=