Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Bantuan geran ringan beban sekolah

OLEH HAFIZAN TAIB

SUBANG JAYA, 8 DIS: Pengurusan sekolah di DUN Subang Jaya menyambut baik langkah Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan yang memberi manfaat terhadap pembangunan pendidikan di Selangor.

Pengurus Operasi Sekolah Sri Pintar Subang Jaya, Nor Ikhsan Mat Nor berkata, keperihatinan Kerajaan Negeri dalam perkara itu membanggakan terutama kepada sekolah persendirian.

“Kita mendapat bantuan dalam satu atau dua tahun sekali sejak Kerajaan Negeri ditadbir Pakatan dan sebagai sekolah swasta memang kita menghadapi kekangan daripada segi kewangan.

“Bantuan sebegini adalah pengiktirafan Kerajaan Negeri terhadap segala usaha kita dalam pembangunan pendidikan dan kemajuan ummah,” katanya kepada SelangorKini.

Sekolah Sri Pintar Subang Jaya adalah salah satu daripada lima sekolah dalam DUN Subang Jaya yang menerima geran pendidikan Kerajaan Negeri berjumlah RM135,000 dalam siri kedua bagi tahun ini.

Sekolah itu menerima geran RM25,000, Sekolah Integrasi Masjid Darul Ehsan (SIMDE) (RM30,000), SJK(C) Lick Hung (RM20,000), SJK(C) Chee Wen (RM30,000) dan SJK(C) Tun Tan Cheng Lock (RM30,000).

img_0217Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru SJK(C) Tun Tan Cheng Lock, Lee Hwa Yang menyifatkan pengagihan geran itu adalah adil bagi semua sekolah di Selangor.

“Ia akan banyak membantu pihak sekolah dalam kerja pengurusan dan penyelenggaraan serta baik pulih bangunan yang rosak,” katanya.

Ahli Lembaga Pengelola SIMDE, Ahmad Fauzi Asmuin turut melahirkan kesyukuran atas bantuan diterima dan akan menggunakan sebaiknya bagi keperluan sekolah berkenaan.

“Kita memohon setiap tahun dan bersyukur atas pemberian ini yang akan digunakan bagi tujuan pembangunan dan penyelenggaraan sekolah,” katanya.

-AA-