Categories
EKONOMI

Indeks IPP negara berkembang 4.2%

KUALA LUMPUR 10 DIS: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia berkembang 4.2 peratus pada Oktober 2016 berbanding bulan yang sama tahun lalu.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Perangkaan berkata peningkatan itu didorong pertumbuhan lebih tinggi dalam tiga indeks – Pembuatan (4.2 peratus), perlombongan (3.5 peratus) dan Elektrik (6.9 peratus).

Keluaran sektor pembuatan berkembang 4.2 peratus pada Oktober selepas mencatatkan peningkatan 4.0 peratus pada September 2016.

Subsektor utama yang mencatatkan pertumbuhan pada Oktober ialah produk peralatan elektik dan elektronik (8.0 peratus), produk petroleum, kimia, getah dan plastik (3.7 peratus); produk meneral bukan logam, logam asas dan produk logam yang direka (4.0 peratus).

“Pertumbuhan pada Oktober disokong oleh peningkatan indeks minyak mentah (2.7 peratus) dan indeks gas asli (4.4 peratus),” katanya.

Keluaran sektor elektrik berkembang kukuh 6.9 peratus pada Oktober selepas mencatatkan pertumbuhan 7.1 peratus pada bulan sebelumnya.

IPP pada September dikemas kini daripada 3.2 peratus kepada 3.1 peratus susulan semakan semula indeks perlombongan, katanya.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, jabatan itu berkata jualan sektor pembuatan pada Oktober bernilai RM59.7 bilion, peningkatan 1.9 peratus atau RM1.1 bilion tahun ke tahun daripada RM58.6 bilion.

=EZY=