Categories
NASIONAL

Kelantan: Mangsa banjir meningkat kepada 1,067

KOTA BHARU, 31 DIS: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 1,067 orang daripada 258 keluarga setakat jam 6 petang tadi berbanding 501 orang daripada 120 keluarga pada 2 petang tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kelantan Zainuddin Hussin berkata lima pusat pemindahan dibuka petang tadi iaitu tiga di Kuala Krai dan dua di Jeli berbanding enam pusat pemindahan banjir yang dibuka sebelum ini.

“Tiga pusat pemindahan banjir yang baharu dibuka di Kuala Krai adalah Pejabat Haiwan Kuala Krai, Masjid Chucuh Puteri A dan Pejabat Veterinar Guchil 7 yang membabitkan 78 mangsa daripada 27 keluarga.

“Ia menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir seramai 263 orang melibatkan 64 keluarga yang ditempatkan di enam pusat pemindahan banjir di jajahan berkenaan setakat petang ini,” katanya lapor BERNAMA.

Sementara itu, Zainuddin berkata dua lagi pusat pemindahan di Jeli dibuka iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Lanas dan Sekolah Kebangsaan (SK) Legeh yang menempatkan 488 mangsa daripada 111 keluarga.

Ia menjadikan jumlah keseluruhan mangsa banjir di jajahan itu adalah seramai 804 mangsa membabitkan 194 keluarga yang ditempatkan di lima pusat pemindahan banjir.

Zainuddin berkata pertambahan jumlah mangsa banjir ketika ini lebih perlahan berbanding tengah hari tadi dan keadaan itu dijangka kekal sama sehingga larut malam ini berdasarkan ramalan Jabatan Meteorologi bahawa hujan akan beransur berkurangan.

Menurutnya operasi memindahkan mangsa banjir juga berjalan lancar ketika ini hasil kerjasama pelbagai agensi keselamatan.

“Kita menempatkan seramai 120 anggota APM untuk melaksanakan aktiviti memindahkan mangsa banjir di Kuala Krai dan 100 anggota di Jeli selain bersedia menggerakkan 1,300 anggota pada bila-bila masa mengikut keperluan semasa,” katanya.

Setakat ini, katanya hanya sebatang jalan utama menghubungkan Kuala Krai dan Kota Bharu di Sungai Durian di Kuala Krai ditutup kepada kenderaan ringan berikutan air yang naik setinggi kira-kira 0.5 meter.

Sementara itu empat batang sungai utama di Kelantan terus menunjukkan peningkatan paras air sehingga 5 petang ini, menurut laman sesawang kerajaan negeri di http://ebanjir.kelantan.gov.my.

Sungai Galas di Dabong meningkat kepada 36.27 meter berbanding 35.66 meter pada 1 tengah hari tadi dengan paras bahaya bagi sungai itu adalah 38 meter.

Sungai Lebir di Tualang pula berada di paras 31.77 meter berbanding 30.27 meter (paras amaran 35 meter) dan Sungai Kelantan di Tangga Krai pada paras 24.02 meter berbanding 22.31 meter (paras amaran 25 meter).

Sungai Golok di Rantau Panjang turut meningkat kepada 7.49 meter petang ini berbanding 7.07 meter pada tengah hari berbanding paras amaran 9 meter.

=EZY=