Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Keusahawanan jana pendapatan golongan muda dan wanita

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 22 DIS: Golongan muda disaran terlibat secara langsung dalam bidang keusahawanan bagi menjana pendapatan lebihan seiring tuntutan pasaran kini.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan berkata, bidang tersebut diyakini mampu menjadi nilai tambah kepada golongan belia untuk meningkatkan taraf ekonomi masing-masing.

“Belia sekarang sudah ada keinginan untuk berdikari dalam mencari sumber pendapatan bukan sahaja makan gaji tetapi dengan kaedah perniagaan. Perkara sebegini wajar dijadikan pendekatan terbaik dan mampu menjadi nilai tambah untuk meningkatkan taraf dan pendapatan golongan belia.

2“Sebab itulah kalau dilihat bidang ini sangat mendatangkan rezeki dan lebih ramai golongan belia menyertai bidang ini serta berjaya dalam perniagaan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada perasmian Bengkel Solekan ‘Basic to Advance, anjuran Penggerak Belia (PeBT) Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 2 dengan kerjasama Pejabat Penghulu Mukim Setapak dan Malaeka Ventures & Make Up by Mya Syamyra.

Penganjuran bengkel tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif MPS menggalakkan masyarakat memanfaatkan peluang tersebut untuk mendapatkan pemahaman yang lebih jelas tentang asas solekan dan kecantikan.

Malah, bengkel tersebut juga dilaksanakan bagi mengetengahkan beliawanis dalam penglibatan mereka di zon berkenaan.

Pada masa sama, Hasbullah berkata, penganjuran program tersebut boleh menjadi landasan terbaik kepada belia khususnya wanita untuk mengembangkan kebolehan diri.

“Saya yakin ada dalam kalangan peserta yang hadir bukan untuk belajar solekan semata-mata tetapi memasang memasang hasrat dan cita-cita untuk menjadi jurusolek serta usahawan berjaya,” katanya.

-NFN-