Categories
NASIONAL

Ringgit diniaga rendah berbanding dolar AS

SHAH ALAM, 9 DIS: Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), hari ini di sebalik langkah Bank Negara Malaysia (BNM) untuk memperkasakan mudah tunai pasaran pertukaran asing.

Pada jam 9.08 pagi, ringgit dibuka lebih rendah kepada 4.4210/4250 daripada 4.4200/4240 yang dicatatkan, pada penutup semalam.

Peniaga berkata, pasaran tempatan masih dipengaruhi sentimen berhati-hati selepas Donald Trump memenangi pemilihan presiden secara mengejut, digabungkan pula dengan kelemahan harga minyak global.

Bagaimanapun, unit tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ia lebih tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.1038/1070 daripada 3.1215/1247, semalam dan menokok berbanding yen kepada 3.8669/8734 daripada 3.8960/8005.

Berbanding euro, ia lebih tinggi kepada 4.6938/6985 daripada 4.7736/7801 dan mengukuh berbanding British pound kepada 5.5616/5697 daripada 5.6041/6105.

ringgitSementara itu, Bursa Malaysia diniagakan kepada 1,639.85 mata berbanding penutup semalam, 1,643.75.

Pada jam 9.04 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 3.9 mata atau 0.2 peratus susulan aktiviti pengambilan untung, selain disebabkan langkah Bank Pusat Eropah (ECB) yang dilaporkan berkata bahawa ia akan mengurangkan pelonggaran kuantitatif (QE).

Pelabur juga memantau keputusan kadar faedah Amerika Syarikat minggu depan.

Semalam, ECB berkata, ia mungkin mengurangkan pembelian bon bulanan kepada STG60 bilion (RM282 bilion) daripada STG80 bilion dan akan melanjutkan pembelian sehingga Disember 2017.

Saham Asia hampir tidak berubah pada Jumaat, namun berada pada landasan tepat untuk mencatat keuntungan mingguan yang kukuh.

-AA-