Categories
NASIONAL

Rohingya: Putus hubungan diplomatik bukan sekadar berhimpun

SHAH ALAM 6 DIS: Kerajaan Malaysia disaran memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar bukan sekadar berhimpun bagi menyatakan bantahan terhadap kekejaman dilakukan terhadap umat Islam Rohingya di Arakan, Myanmar.

Ketua Pemuda AMANAH Nasional, Mohamad Sany Hamzan berkata, Kerajaan Malaysia perlu mengeluarkan pendirian secara rasmi dan tegas dalam isu ini sebagai tekanan terhadap Kerajaan Myanmar.

Katanya sebarang bentuk penindasan tidak mengira kaum mahupun agama wajar ditentang oleh semua pihak lebih-lebih lagi yang mengakibatkan pembunuhan kejam dan melanggar hak asasi serta ketamadunan manusia.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC), dan Asean gagal menjalankan peranan mereka, sebaliknya masing-masing lepas tangan dan hanya memikirkan kepentingan sendiri.

“Kami kecewa kerana Kerajaan Persekutuan gagal memanfaatkan persidangan parlimen baru-baru ini untuk menyatakan sikap terhadap isu ini,” katanya dalam kenyataan media.

Beliau berkata bahkan, lebih menyedihkan usul di bawah 19 (a) untuk membahaskan isu pembunuhan orang Islam Rohingya di Myanmar yang dibawa oleh Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah ditolak.

“Kerajaan dilihat ingin menunjuk hero dan ingin melepaskan tanggungjawab sebenar mereka sebagai kerajaan dalam isu ini dengan menganjurkan himpunan sambil dibantu oleh sekelompok pihak.

“Kami ingin tegaskan, kerajaan perlu melaksanakan tindakan yang lebih besar dalam memperjuangkan nasib umat Islam Rohingya, bukan sekadar berhimpun semata-mata,” katanya

Beliau berkata Kerajaan Malaysia wajar mengusir duta mereka dari Malaysia bagi memberi isyarat besar kepada kerajaan Myanmar.

=EZY=