Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

SelangorKini terima pengiktirafan MPK

OLEH NORHAYATI UMOR

SUBANG JAYA, 23 DIS: SelangorKini dianugerahkan Media Komuniti Terbaik oleh Majlis Perbandaran Klang (MPK) dalam satu majlis di Hotel Holiday Villa and Suites, baru-baru ini.

Anugerah terbabit disampaikan Yang Dipertua MPK, Dato’ Mohamad Yasid Bidin yang menyaksikan akhbar rasmi Kerajaan Negeri itu membawa pulang sijil, plak dan wang tunai.

Lebih manis, wartawan akhbar itu, Norhayati Umor turut memenangi Pertandingan Penulisan Esei Manfaat Kitar Semula anjuran MPK, sekali gus membawa pulang wang tunai RM500 berserta sijil.

Beliau juga dipilih sebagai pemenang pakaian tercantik bagi tema ‘Elegant’ Stylo & New York Style’ dan menerima hadiah wang tunai RM150.

Selain SelangorKini, akhbar The Star turut menerima anugerah bagi kategori Media Inovasi, NTV7 (Media Kreatif), Sin Chew (Media Efisyen) dan Sinar Harian Online (Media Pilihan Online).

photo2Sementara itu, Yasid dalam ucapannya berkata, penganjuran Majlis Malam Media MPK 2016 bertujuan meraikan dan mengiktiraf kerjasama juga sumbangan media yang membantu dalam memberi hebahan, liputan serta publisiti.

Katanya, peranan wartawan dan media massa dalam pembangunan dan pemodenan negara tidak boleh diabaikan.

“Melalui penulisan, mereka dapat mengubah pemikiran masyarakat, malahan kekuatan yang ada pada ketajaman penulisan ternyata banyak membantu khususnya bagi pihak berkuasa tempatan (PBT) menjalankan tugasan.

“Saya menghormati dan kagum pada pihak media yang sentiasa menjunjung tinggi etika kewartawanan iaitu seimbang dalam pemberitaan menerusi liputan dan kupasan diterbitkan sepanjang tahun,” katanya.

Majlis penghargaan itu turut dihadiri Setiausaha MPK, Tuan Adi Faizal Ahmad Tarmizi, ketua jabatan, ahli majlis dan penaja yang disertai 24 agensi media.

-AA-