Categories
SELANGOR

Pekan KKB inspirasi 30 pelukis

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 23 DIS: Seramai 30 pelukis antarabangsa dari 14 negara termasuk Malaysia menghasilkan karya, pada bangunan lama dalam Festival Seni Antarabangsa Kuala Kubu Bharu (KKB), baru-baru ini.

Yang Dipertua Majlis Darah Hulu Selangor (MDHS), Mohamad Zain Abd Hamid berkata, antara negara yang terlibat adalah dari Vietnam, Thailand, Indonesia, Singapura, Filipina, Australia, China, Korea Selatan, Taiwan, Bangladesh, India dan Nepal.

Katanya, festival itu antara usaha berterusan menjadikan pekan kecil itu ‘hidup’ dengan kegiatan pemikiran selain tempat persinggahan pengkarya, pelukis, penulis dan pengarca.

“Kuala Kubu Bharu akan menjadi rumah kedua untuk berkarya dan kami akan menyediakan persekitaran yang mesra pengkarya, pelukis, pengarca dan penulis.

“Mudah-mudahan sebuah pekan kecil yang sempurna dengan perpustakaan, galeri sejarah, galeri seni dan sastera, mungkin sebuah muzium peringatan atau galeri alam sekitar boleh ditubuhkan,” katanya dalam kenyataan.

Pada masa sama, Mohamad Zain turut berharap pekan KKB akan terus makmur menjadi pusat kegiatan seni, malahan sebagai produk pelancongan yang tidak mungkin boleh didapati di pekan lain di seluruh negara.

????????????????????????????????????

“Kami mengharapkan pekan ini akan menjadi tempat seniman melepaskan lelah dan bersembang menajamkan pemikiran.

“Pekan kecil ini juga bakal menjadi persinggahan tetap pengkarya, pelukis dan pengarca setiap dwitahunan bagi menghasilkan karya yang tidak terucap nilainya serta diperkatakan sepanjang zaman,” katanya.

Antara aktiviti dijalankan pada festival itu adalah karyawan melukis di sekeliling tembok kosong di bangunan lama di di Kuala Kubu Baru, Hulu Selangor sepanjang 10 hari ia berlangsung.

Selain itu, turut terhasil karya ‘Measured Drawing’ dari pelukis muda pelajar Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya, sekolah di sekitar KKB turut dipamerkan di Perpustakaan Awam KKB, Galeri Seni KKB dan khemah perasmian.

Program itu adalah anjuran Persatuan Seni Sasaran, MDHS, Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) dan Persatuan Sejarah Kuala Kubu.

-AA-