Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Serangan BLB: Pesawah rugi hampir RM5 juta

OLEH AFIX REDZUAN

SEKINCHAN, 5 DIS: Serangan Hawar Daun Bakteria (BLB) mengakibatkan hasil sawah padi seluas 3,700 hektar di Sabak Bernam musnah dengan kerugian hampir RM5 juta.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, Sekinchan mengalami serangan BLB paling teruk pada musim kedua tahun ini selepas serangan terakhir, pada 2013.

“Kalau dahulu, satu hektar boleh mendapatkan hasil hampir 10 tan tetapi sekarang di bawah lima tan.

“Kiraan kasar di kawasan Sekinchan kerugian dianggarkan RM5 juta,” katanya ketika meninjau keadaan padi di Blok Sawah Jalan Parit Lima bersama Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim.

Zaidy berkata, setakat ini tiada kawalan ampuh mampu menghalang serangan BLB yang boleh dibawa manusia, peralatan dan angin.

img_20161205_113337_813Bagaimanapun, katanya, masalah itu akan dibentangkan pada Mesyuarat Exco dan Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES), minggu ini.

Mengulas perkara sama, Suee Lim berkata, beliau sudah menulis surat kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek supaya tindakan lanjut diambil.

Katanya, bantuan segera perlu diberikan kepada petani yang mengalami kerugian selain terpaksa menanggung hutang di saat tertekan dengan kos sara hidup tinggi.

“Sekarang musim menuai, sepatutnya petani gembira menantikan hasil pada bulan keenam tetapi serangan BLB mengakibatkan mereka berhadapan kesulitan.

“Ada petani menyewa satu lot hampir RM6,500. Kerugian ini akan mengakibatkan petani tertekan memandangkan musim persekolahan bakal bermula tidak lama lagi selain terpaksa menanggung hutang,” katanya.

-AA-