Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Tak mustahil RM5 untuk 1USD tahun depan?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 6 DIS: Bank Negara Malaysia (BNM) disarankan memikirkan langkah alternatif lain bagi mengelakkan nilai ringgit terus menjunam sekiranya langkah pengukuhan diambil tidak memberi kesan positif terhadap nilai mata wang negara itu.

Mantan Timbalan BNM, Dr Rosli Yaakob berkata, sekiranya penyusutan ringgit berterusan, nilai ringgit bakal mencecah ke paras RM5 bagi setiap 1 dolar Amerika Syarikat (AS) pada tahun hadapan.

“Kalau ringgit dalam keadaan sekarang dan BNM tidak mengambil langkah konkrit, BNM tidak cukup rizab untuk beli ringgit kemungkinan ringgit bergerak ke arah RM5 bagi 1 dolar.

“Tetapi bila kita tak tahulah, mungkin dalam tempoh lima, enam bulan atau setahun akan datang. Sekarang pun dah RM4.44 bagi 1 dolar,” kata Dr Rosli ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, antara faktor lain mendorong kejatuhan berterusan nilai ringgit adalah harga petroleum antarabangsa yang kekal di bawah paras 50 dolar AS setong sekaligus menyebabkan kebarangkalian untuk ringgit kembali kukuh adalah kecil.

Katanya, jumlah hutang negara yang semakin tinggi dengan tanpa kawalan ketat turut menjejaskan ringgit ekoran semua transaksi bayaran hutang hanya boleh dibuat dalam mata wang asing seperti dolar AS atau mata wang asing lain sekaligus melemahkan ringgit.

Selain itu, skandal 1MDB menyebabkan kehilangan keyakinan bakal dan pelabur asing sedia ada kepada ekonomi dan matawang negara memburukkan lagi prestasi ringgit.

“Ini menunjukkan bahawa isu kehilangan dana negara berbilion ringgit pun kita gagal atasi, jadi macam mana pelabur asing baru boleh yakin dengan kita dan begitu juga dengan pelabur sedia ada juga kemungkinan lari.

“Inilah faktor yang boleh menyebabkan nilai ringgit ‘teruja’ dan bergerak ke arah RM5 sedolar, cuma masanya bila akan berlaku adakah dalam tempoh enam bulan, setahun kita tak tahu lagi,” katanya lagi.

Terbaru, BNM mengumumkan langkah mengenakan peraturan baru yang berkuatkuasa semalam, pengeksport hanya boleh mengekalkan 25 peratus daripada hasil eksport mereka di dalam mata wang asing dan bakinya perlu ditukar dalam ringgit.

Pengeksport mempunyai masa selama enam bulan untuk menukarnya kepada ringgit.

=EZY=