Categories
SELANGOR

Tujuh artis wanita pamer bakat

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 25 DIS: Hasil karya tujuh artis wanita kini ditampilkan buat tatapan umum dalam Pameran Lakar Wanita 2016 di Galeri Shah Alam, di sini, mulai 5 Disember hingga 13 Januari 2017.

Orang ramai termasuk peminat seni disarankan tidak melepaskan peluang bagi mengunjunginya serta menghayati juga menikmati keistimewaan karya dihasilkan artis berkenaan.

Ketujuh-tujuh artis itu ialah Zuriati Mohamed Shaari, Noor Hidawati Mohamed Amin, Elliza Hashim, Siti Hajar Abd Rahman, Noriza Arzain, Norwani Md Nawawi dan Suhairi Marlina Shamsudin iaitu graduan Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang terkenal sebagai institusi banyak melahirkan golongan pengkarya di Malaysia.

Kurator pameran, Mohd Azhar Abd Manan berkata, ia diadakan bagi memberi ruang kepada golongan itu menonjolkan bakat dan kebolehan sebenar berbanding kebiasaan mereka lebih banyak dipaparkan sebagai subjek dalam karya catan di atas kanvas atau arca figura.

“Mereka lebih banyak dijadikan sebagai model dalam karya berbanding menonjolkannya sebagai pelukis agung dan lebih malang lagi wanita dijadikan ‘objek’ tontonan dalam iklan yang tiada kaitan dengan produk dipasarkan.

“Pameran Lakar Wanita ini menyajikan idea dan luahan rasa tujuh artis wanita dalam bentuk dan pentafsiran yang peribadi sifatnya, namun sifat kewanitaan jelas terpapar dalam setiap karya,” katanya.

Katanya, pameran itu diharap menjadi rujukan peminat dan pengkaji sejarah seni moden seterusnya meletakkan mereka tersenarai artis wanita dalam perkembangan seni rupa moden Malaysia abad ke-21.

“Selain mempamerkan karya sendiri dalam pelbagai genre dan rupa, mereka juga membawa bersama hasil seni anak didik untuk dipamerkan bagi mencipta kelainan serta memberi pengalaman dan landasan supaya golongan itu lebih meminati dan mengenali dunia seni,” katanya.

Majlis perasmian pameran disempurnakan Pengerusi Yayasan Budi Penyayang, Nori Abdullah, pada 14 Disember lalu.

-AA-