Categories
SELANGOR

Caj 20 sen plastik, peniaga disaran sedia tanggungjawab korporat

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SUBANG JAYA, 20 JAN : Peruncit yang mengenakan caj RM0.20 sen bagi setiap penggunaan beg plastik di pasaran boleh menggunakan wang tersebut bagi tujuan pembangunan sosial dan korporat (CSR).

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, walaupun cadangan tersebut belum dibuat mengikut ketetapan selanjutnya, namun ia boleh dimanfaatkan bagi tujuan tangungjawab sosial peruncit.

Elizabeth“Kerajaan Negeri meminta supaya peruncit melakukan perakaunan sendiri dan boleh menjalankan program tangunggjawab sosial korporat mengikut syarikat perniagaan masing-masing,” katanya.

Bagaimanapun Elizabeth berkata, saranan tersebut tidak termaktub di negeri ini sebagaimana kempen CSR yang dilaksanakan di Pulau Pinang dan negara-negara maju lain.

Sebelumnya, hanya Kerajaan Pulau Pinang yang menetapkan pelaksanaan kempen CSR dalam usaha mengumpul wang caj tersebut bagi perkhidmatan tanggungjawab sosial.

Elizabeth bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Pemeteraian Memorandum Persefahaman (MOU) Tourism Selangor dan FireFly di Subang Skypark Airport, di sini, semalam.

Terdahulu, Kerajaan Negeri memperkenalkan kempen pengharaman penggunaan beg plastik dan polisterina sebagai inisiatif menggalakan kehidupan lestari dan bumi hijau di Selangor.

-nR-