Categories
EKONOMI NASIONAL

Dr Rosli: Rizab BNM susut, ringgit berisiko diserang?

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 11 JAN: Keupayaan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk campur tangan dalam pasaran tukaran asing sekiranya diperlukan semakin terhad.

Ia berlaku apabila dalam masa singkat rizab antarabangsa bank pusat itu merosot kepada 94 bilion dolar Amerika Syarikat (AS) (RM420.60 bilion) setakat 30 Disember berbanding 96.4 bilion dolar AS (RM431.34) pada 15 Disember 2016.

Mantan Timbalan Pengarah BNM, Dr Rosli Yaakob berkata, kegagalan BNM bertindak balas sekiranya berlaku serangan terhadap ringgit bakal menyebabkan nilai ringgit terus merosot ke paras lebih rendah.

“Bila rizab BNM merosot keupayaan BNM untuk campur tangan dalam pasaran tukaran asing adalah terhad. Kalau ringgit tertekan, kena serangan spekulatif memang BNM tak mampu bertindak balas. Ini menyebabkan nilai ringgit terus turun.

“Macam mana dia nak bertindak balas dengan keadaan rizab yang tak cukup. Perkara yang saya perlu sebut, BNM perlu memikirkan secara serius untuk mengembalikan langkah kawalan modal dengan mengikat ringgit pada dolar AS seperti yang pernah dilakukan pada 1998. Kembali kepada rejim kekangan,” kata Dr Rosli ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Beliau berkata dalam keadaan ekonomi negara yang suram dan ditambah dengan pelbagai faktor dalaman seperti skandal 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) nilai ringgit sukar dipulihkan ke paras lebih kukuh.

Katanya, BNM didakwa gagal meningkatkan rizab antarabangsanya walaupun selepas Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menasihatkan supaya BNM meningkatkan pegangan rizabnya.

“Sebab itulah IMF menasihatkan BNM meningkatkan pegangan rizab antarabangsa tetapi nampaknya bila kita lihat rizab BNM terus merosot bermakna BNM tak mampu memperkukuhkan rizab antarabangsa.

“Ini boleh menyebabkan ringgit kena pukulan teruk sekiranya berlaku serangan spekulatif,” katanya.

=EZY=