Categories
BERITA UTAMA NASIONAL

Kartunis Lat tidak kritikal, isteri mohon doakan lekas sembuh

SHAH ALAM, 14 JAN: Kartunis lagenda negara, Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Lat tidak berada dalam keadaan kritikal, kata adik beliau Mamat Khalid.

Bagaimanapun Mamat yang juga pengarah filem terkenal berkata, Lat dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pantai, Ipoh ekoran wad biasa sudah penuh.

Beliau berkata, sebelum ini abangnya menjalani pemeriksaan di hospital tersebut selama tiga hari sebelum dibenarkan keluar, pada 11 Januari lalu.

lat“Dia datang semula ke hospital semalam (12 Januari lalu) apabila merasa kurang sihat. Dia bukan kritikal atau kena serangan jantung, cuma dimasukkan ke ICU buat sementara waktu disebabkan wad biasa penuh.

“Keadaan dia elok, dia pun tak ada pakai wayar, dia boleh makan, boleh ketawa dan boleh bangun. Tadi, dia sempat bagi tahu untuk ucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakannya dan tidak perlu gusar kerana ini hanya pemeriksaan biasa.

“Saya harap orang faham bahawa keadaan dia lemah dan perlukan rehat secukupnya,” kata Mamat Khalid dipetik laporan Bernama.

Beliau berkata, Lat akan dipindahkan ke wad biasa sebaik sahaja terdapat kekosongan untuk beliau.

Katanya, Lat yang berusia 65 tahun telah lama mempunyai masalah jantung, namun bukan pada tahap kritikal.

Sementara itu, isteri Lat, Datin Faezah Ahmad Zanzali pula memohon supaya orang ramai mendoakan supaya suaminya lekas sembuh.

-NFN-