Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

RM100,000 inisiatif pembangunan Islam cawangan Nakhoda

OLEH SYAZWANI SUFIAN

BATU CAVES, 14 JAN: Kerajaan Negeri menyumbangkan RM100,000 kepada Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia (LKPIM) cawangan Nakhoda sebagai inisiatif menyokong pembangunan dan memartabatkan Islam di Selangor.

azmin-parlimenDato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri membantu persatuan itu diperluaskan melihat kepada keperluan LKPIM.

“Selepas meneliti aktiviti yang dilakukan LKPIM, mereka bukan sahaja menjalankan majlis ilmu dan kelas pengajian, malahan lebih penting adalah program yang mengikat dan memperkukuhkan ukhuwah dalam kalangan umat Islam dan orang Melayu di Kampung Nakhoda ini khususnya.

“Dengan pelbagai cabaran yang kita hadapi hari ini apabila Islam dipamerkan sebagai satu agama yang ekstrim dan ‘terrorist’, maka sudah menjadi tanggujawab kita memastikan perpaduan Islam dipertahan juga diperkukuhkan melalui persatuan seperti ini,” katanya ketika majlis penyampaian cek dan perasmian pembangunan pengajian LKPIM cawangan Nakhoda di Kampung Nakhoda, di sini, hari ini.

Pengerusi LKPIM Cawangan Nakhoda, Kasmah Bakar melahirkan rasa bersyukur dengan bantuan Kerajaan Negeri yang dapat membantu kos membangunkan pusat pengajian.

“Kami rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang sentiasa prihatin terhadap kesusahan rakyat.

“Semoga bantuan ini dapat melancarkan pembangunan pusat pengajian bagi cawangan Nakhoda. Pada 8 Januari lalu, kita juga melakukan solat hajat di tapak pembinaan,” katanya.

Difahamkan terdapat 200 ahli yang menyertai LKPIM bagi cawangan Nakhoda selain aktiviti program kemasyarakatan dan keagamaan, malahan persatuan itu juga mengadakan kelas Fardu Ain.

-NFN-