Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

Kerajaan Negeri komited sokong acara sukan berbasikal

OLEH AFIX REDZUAN

KLANG, 15 JAN: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali meluangkan masa hujung minggu dengan menyertai acara berbasikal Pulau Indah 180KM Malaysia 2017 yang bermula di pejabat Central Spectrum Sdn Bhd (CSSB).

Disertai hampir 1,200 peserta, edisi kedua itu turut disertai pelumba dari 30 negara yang mula berkumpul seawal jam 5.00 pagi.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menyokong penganjuran acara berbasikal sebagai usaha memajukan pelancongan menerusi sukan selain menyuburkan budaya hidup sihat.

MB Pulau Indah“Sambutan tahun ini jauh lebih baik daripada tahun sebelumnya dengan penglibatan dari 30 negara membabitkan 1,200 peserta sejak jam 5.30 pagi untuk menyertai acara berbasikal Pulau Indah 180KM Malaysia 2017.

“Saya turut menyertainya sebagai komitmen Kerajaan Negeri memajukan sukan berbasikal,” katanya sebelum acara pelepasan yang disempurnakan Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang, Dato’ Mohamad Yasid Bidin.

Penganjuran itu sempena temasya Le Tour de Langkawi yang bakal berlangsung pada 22 Febuari hingga 1 Mac ini.

Laluam Pulau Indah 180KM Malaysia 2017 menyelusuri kawasan Selangor Halal Hub Industrial Park, Lebuhraya Pulau Indah ke Jenjarom, Banting, Olak Lempit, Sepang, Sungai Pelek, Bagan Lalang dan Morib sebelum peserta membuat pusingan semula ke Teluk Panglima Garang dengan kembali mengakhiri saingan di pejabat CSSB, Pulau Indah.

Hadiah lumayan keseluruhan bernilai RM40,000 menanti peserta menerusi lima kategori; Lelaki Terbuka (18-35 tahun), Terbuka Wanita (18 tahun ke atas), Junior Master (35-44 tahun), Master (45 tahun ke atas) dan Berpasukan.

-NFN-