Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB tuntut PM nyatakan pendirian dasar anti Islam Trump

OLEH LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 31 JAN: Perdana Menteri, Dato’ Seri Najib Razak digesa menyatakan pendirian jelas berhubung arahan eksekutif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald J Trump membekukan kemasukan pelarian dan pelancong dari beberapa negara Islam.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, kebisuan Najib sehingga kini seolah menjelaskan banyak perkara mengenai kedudukan beliau selaku peneraju di Putrajaya.

Katanya, Najib juga sebelum ini secara terbuka memuji pentadbiran baru di Rumah Putih dan kesediaannya bekerjasama rapat dengan gagasan Trump.

“Kebisuan Putrajaya ini juga menimbulkan pelbagai persoalan, termasuk sama ada ia ada sebarang kaitan dengan siasatan antarabangsa sedang dijalankan Jabatan Kehakiman AS.

“Oleh itu, saya menyeru Perdana Menteri melakukan perkara betul dan menyatakan pendirian jelas, sama seperti pihak dan organisasi lain, tanpa mengira bangsa, kewarganegaraan dan agama yang terlebih dahulu berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan.

Pada 28 Januari lalu, Reuters melaporkan Trump mengeluarkan arahan membekukan kemasukan pelarian selama empat bulan terhadap warga Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yaman.

Mohamed Azmin mengutuk keras arahan eksekutif Trump itu yang disifatkan sebagai perkauman melampau yang hanya mengukuhkan tembok permusuhan terhadap golongan minoriti dan imigran di AS.

Katanya, pembekuan itu juga mencabul prinsip antarabangsa dalam mengurus pelarian mangsa perang yang seharusnya dibela negara bertamadun.

“Lebih membimbangkan, larangan ini menandakan fasa baru kerajaan tajaan Islamophobia, yang, jika tidak dikawal, akan diterjemahkan dalam pelbagai cara termasuk dasar dalam dan luar negara.

“Ia juga secara kolektif memberi kesan di peringkat global, terutama dalam usaha menangani keganasan dan ekstremisme agama,” katanya.

=EZY=