Categories
NASIONAL

ABIM gesa putuskan hubungan diplomatik Korea Utara

SHAH ALAM 26 FEB: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menggesa Kerajaan Malaysia memutuskan hubungan diplomatik dengan Kerajaan Korea Utara (Democratic People Republic of Korea).

Presiden ABIM, Mohamad Raimi Ab Rahim berkata, gesaan itu dibuat rentetan kenyataan keterlaluan dikeluarkan oDuta Negara tersebut ke Malaysia; Kang Chol.

“Kenyataan beliau yang mempertikaikan gerak kerja siasatan ke atas pembunuhan Kim Jong Nam serta mengaitkannya dengan agenda pihak asing secara langsung tidak menghormati sensitiviti dan kedaulatan negara.

“Umum mengetahui bahawa Korea Utara ialah negara ekstremis yang sering mencetuskan provokasi keterlaluan yang menjejaskan kestabilan politik antarabangsa,” kata Raimi dalam kenyataan media.

Beliau berkata Korea Utara mempunyai rekod hak asasi manusia yang buruk dan tidak selari dengan aspirasi sejagat.

“Reputasi tersebut mewajarkan hubungan diplomatik ini dikaji semula.

“Tindakan memutuskan hubungan diplomatik dengan Korea Utara dinilai tidak akan meninggalkan apa-apa kerugian kepada negara baik dari segi aspek ekonomi mahupun politik,” katanya.

Beliau berkata ABIM berpandangan tindakan memutuskan hubungan diplomatik ini secara tidak langsung menandakan komitmen negara menjunjung amalan demokrasi serta hak asasi manusia yang kini merupakan aspirasi sejagat.

=EZY=