Categories
SELANGOR

ADN komited selesai isu Pangsapuri Seri Perantau

OLEH NORHAYATI UMOR

PELABUHAN KLANG, 11 FEB: DUN Selat Klang komited untuk terus membantu penduduk Pangsapuri Seri Perantau menyelesaikan isu berbangkit di kawasan itu sejak sekian lama.

Ahli Dewan Negerinya, Dr Halimah Ali berkata, ini kerana lebih 1,000 penduduk pangsapuri yang berasal dari rumah panjang itu mengalami pelbagai masalah kemudahan infrastruktur.

“Saya mendengar banyak rungutan dan aduan berkenaan kemudahan serta cuba membantu sebaiknya.

“Kawasan ini pertama sekali saya pergi selepas menang Pilihan Raya Umum (PRU) pada Mac 2008 dan saya tidak ke sini hanya sekadar memberi gula-gula,” katanya ketika sesi taklimat membaik pulih lif di pangsapuri itu.

Terdahulu, sesi taklimat bersama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) bertukar kecoh apabila penduduk mendakwa Kerajaan Negeri tidak bersungguh membantu mereka.

Bagaimanapun, Halimah menafikan perkara itu dan menjelaskan isu berbangkit yang ditimbulkan berpunca daripada kerajaan sebelumnya.

Dr Halimah Ali“Pangsapuri ini mewarisi permasalahan sebelum 2008, namun Kerajaan Negeri berjaya menyelesaikan hak milik tanah itu yang sebelum ini milik KTM.

“Pangsapuri ini juga pernah ditawarkan skim Ceria untuk pembaikian lif, namun pihak Pengurusan Badan Bersama (JMB) menolak untuk memberi kerjasama.

“Saya juga merayu kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya membantu penduduk dan tidak memotong bekalan air mahupun elektrik,” katanya.

Sebelum ini, pangsapuri terbabit turut disediakan kemudahan gelanggang futsal, dewan dan perpustakaan mini, namun gagal disiapkan pemaju.

-AA-