Categories
NASIONAL

Jasad Kim Jong-Nam dibedah siasat di HKL

SHAH ALAM 15 FEB: Van jenazah yang dipercayai membawa jasad Kim Jong-Nam, abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un, beredar dari Hospital Putrajaya di Putrajaya hari ini.

Van putih yang diiringi empat kenderaan polis itu dilihat bergegas keluar dari hospital itu pada jam 8.55 pagi ini bagi mengelak anggota media yang berkumpul di jabatan forensik hospital itu sejak petang semalam, lapor BERNAMA.

Ketua Polis Daerah Sepang ACP Abdul Aziz Ali turut dilihat berada di dalam sebuah daripada kenderaan itu.

Wartawan, termasuk media asing, terpinga-pinga apabila van itu meninggalkan hospital secara tiba-tiba.

Sumber di hospital itu berkata mayat warga asing itu dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat.

“Pakar di hospital ini memutuskan bahawa bedah siasat tidak sesuai dilakukan di bilik mayat di sini memandangkan HKL mempunyai lebih banyak kemudahan dan ruang lebih besar,” katanya kepada pemberita.

Pegawai dari Kedutaan Korea Utara atau anggota keluarga lelaki berkenaan tidak kelihatan di bilik mayat itu, yang dikawal ketat oleh pengawal keselamatan hospital.

Polis mengesahkan bahawa lelaki warga Korea Utara yang meninggal dunia di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 pada hari Isnin ialah Kim Jong-nam.

=EZY=