Categories
SELANGOR

Pasang injap atasi paip pecah

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 23 FEB: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) akan memasang injap bagi mengawal dan menstabilkan tekanan air di Taman Nirwana, Ampang.

Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib berkata, pemasangan injap itu juga berupaya merendahkan tekanan dan akan dilaksanakan awal Mac ini.

“Injap ini berfungsi bagi mengawal dan menstabilkan tekanan air di kawasan persekitaran serta dapat mengelakkan kekerapan paip pecah.

“Paip jenis asbestos di Taman Nirwana mengalami keadaan sering pecah apabila berlakunya tekanan air tinggi,” katanya kepada SelangorKini.

Sementara itu, Ketua bahagian Komunikasi Korporat Air Selangor, Amin Lin Abdullah berkata, pihaknya akan menggantikan paip yang berusia lebih 30 tahun itu dengan kadar segera.

Sebelum ini, lebih 5,000 penduduk serta peniaga di kawasan terbabit mengadu kehidupan mereka terjejas apabila bekalan air bersih ke rumah mereka terputus ekoran paip pecah.

-AA-