Categories
NASIONAL

Pindah tempat mengundi, muslihat MB Johor menang PRU-14?

OLEH ERMIZI MUHAMAD

SHAH ALAM, 20 FEB: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mengkibol, Tan Hong Pin mendakwa kemungkinan wujud muslihat Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin untuk terus mengekalkan kuasa dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Beliau berkata, ia ekoran wujud keraguan membabitkan pendaftaran nama Mohamed Khaled bersama 12 individu lain dalam daftar pemilih bagi suku keempat 2016 yang dipamerkan kini.

Katanya, nama Mohamed Khaled berdaftar dengan alamat pendaftaran rumah kedai di kawasan Taman Rinting, Masai yang sama sekali bertentangan dengan peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Menjelang PRU-14, mainan dan muslihat politik kotor BN akan semakin rancak dan keji. Cuma saya tidak jangka ia boleh berlaku secara terang-terangan di kawasan Menteri Besar sendiri, malahan melibatkan diri beliau sendiri.

“Saya minta Datuk Sri Mohamed Khaled Nordin tampil segera memberi penjelasan kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan.

tan-hong-pin-mengkibolTerdahulu, SPR menetapkan pendaftaran di bawah alamat rumah kedai untuk tujuan perniagaan atau urusan pejabat tidak boleh dijadikan alamat kekal, melainkan pemilih memang mendiami premis berkenaan.

Portal Malaysiakini melaporkan senarai daftar undi berkenaan menimbulkan persoalan jika benar Mohamed Khaled menetap di sebuah rumah kedai di kawasan DUNnya.

Perkara itu bukan pertama kali dilaporkan ketika bahang PRU-14 semakin dirasai rakyat Malaysia.

Sebelum ini, SelangorKini melaporkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Barisan Nasional, Mat Nadzari Ahmad Dahlan juga menukar alamat mengundi secara tiba-tiba ke Batang Kali bagi membolehkan beliau mengundi di tempat asalnya sendiri.

-AA-