Categories
NASIONAL

Utamakan keselamatan ketika berbasikal – Azizulhasni

SHAH ALAM, 20 FEB: Pelumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang menasihatkan semua pihak terutama remaja yang meminati aktiviti berbasikal supaya sentiasa menjaga dan mematuhi ciri keselamatan.

Berkongsi posting di Instagram miliknya, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik di Rio itu turut menasihatkan penunggang basikal memasang lampu dan berpakaian cerah supaya mudah dilihat terutama pada waktu malam.

“Saya juga ingin memohon kepada pemandu kereta, bas, lori dan lain-lain supaya anda memberi lebih perhatian kepada penunggang basikal, motosikal juga pejalan kaki yang lebih terdedah kepada risiko kemalangan di atas jalan raya.

“Semoga kita semua akan menjadikan tragedi ini satu pengajaran, pada masa hadapan,” katanya yang kini berada di Australia.

Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden rempuh kenderaan yang mengorbankan lapan remaja di Jalan Lingkaran Dalam berhampiran Tanah Perkuburan Islam Mahmoodiah, kelmarin.

“Salam takziah diucapkan kepada keluarga mangsa dan didoakan supaya anda semua tabah dalam menempuhi dugaan ini,” katanya.

-AA-