Categories
NASIONAL

Duta Malaysia di Pyongyang dipanggil pulang

SHAH ALAM, 20 FEB: Kerajaan memanggil pulang Duta Malaysia di Pyongyang sebagai reaksi kepada kenyataan dibuat diplomat Korea Utara ke atas Malaysia, baru-baru ini.

Kementerian Luar Malaysia dalam satu kenyataan berkata, langkah itu dibuat sebagai proses rundingan kerajaan, malahan Wisma Putra turut memanggil Duta Besar Korea Utara, hari ini bagi mendapatkan penjelasan berkenaan kenyataan dibuatnya dalam sidang media, pada 17 Februari lalu.

Wisma Putra berkata, Kang Chol mengadakan pertemuan dengan Timbalan Ketua Setiausaha Hal Ehwal Dua Hala Kementerian Luar, Raja Nushirwan Zainal Abidin.

Kenyataan itu turut menegaskan kematian Kim Jong-nam berlaku di Malaysia dan dalam keadaan mencurigakan, justeru menjadi tanggungjawab kerajaan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kematian.

“Penyiasatan kes ini dilaksanakan mengikut tatacara yang ditetapkan di bawah undang-undang Malaysia.

“Kedutaan Besar Republik Demokratik Rakyat Korea (Korea Utara) turut dimaklumkan bahawa kematian itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Screen Shot 2017-02-14 at 10.14.22 PM“Justeru, proses bedah siasat perlu dijalankan,” kata kenyataan berkenaan.

Pada masa sama, Kementerian Luar Malaysia berkata, kerajaan turut memaklumkan kepada Kang Chol bahawa sebaik sahaja siasatan selesai, mayat akan diserahkan kepada waris mengikut undang-undang dan prosedur sedia ada di negara ini.

“Kerajaan Malaysia melaksanakan penyiasatan secara telus. Kedutaan juga akan dimaklumkan berkenaan perkembangan penyiasatan itu juga proses terlibat di bawah undang-undang Malaysia.

“Kerajaan menganggap kritikan dibuat Duta Besar Republik Demokratik Rakyat Korea itu sebagai tidak berasas dan mengambil serius atas segala tuduhan dilemparkan bertujuan mencemarkan reputasi negara,” katanya.

Dalam sidang media Jumaat lalu, duta Korea Utara terbabit memberi gambaran bahawa kerajaan Malaysia mempunyai “sesuatu untuk disembunyikan”.

Kang Chol juga mendakwa Malaysia “berpakat dan bersekongkol dengan kuasa-kuasa luar” dalam pengendalian kes kematian abang tiri pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un itu, pada 13 Februari lalu.

-AA-