Categories
PBT SELANGOR

YDP MDHS baru tekad beri khidmat terbaik

HULU SELANGOR 4 FEB: Noraini Roslan secara rasminya menjadi Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) yang baharu, mulai 1 Februari lalu.

Majlis angkat sumpah menerima jawatan dilakukan di hadapan Orang Besar Daerah Hulu Selangor YAD Dato’ Haji Aman Shah Mohd Shahar, ahli majlis dan pegawai kanan MDHS.

Noraini sebelum ini berkhidmat di Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) berpengalaman luas lebih 25 tahun dalam bidang perancangan pembangunan membabitkan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan.

Sebelum ke MDKS, beliau pernah bertugas di Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Majlis Perbandaran Klang.

Dalam ucapan aluannya, beliau optimis terus menyalurkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di Hulu Selangor dengan meneruskan tradisi meningkatkan mutu perkhidmatan dan kualiti hidup rakyat selaras dengan slogan MDHS ‘Daripada Anda Untuk Anda’.

Beliau yakin dengan jumlah peningkatan bilangan pelabur dan industri yang masuk ke Hulu Selangor bakal memberikan potensi besar untuk pembangunan daerah itu daripada segi fizikal atau ekonomi.

Di samping itu, beliau juga memfokuskan terhadap pemeliharaan alam sekitar dan pengekalan kawasan hijau.

Sebagai pihak berkuasa tempatan, MDHS perlu menentukan jenis ekonomi untuk menjadi punca ekonomi di Hulu Selangor.

Beliau berharap, ekonomi lebih menghargai alam sekitar diutamakan berbanding ekonomi yang nampak memberikan pulangan tinggi tetapi pada akhirnya memusnahkan alam sekitar.

“Usaha terus dilakukan terutama dalam mendidik masyarakat memelihara alam sekitar serta kejiranan hijau,” katanya.

Menyentuh potensi pelancongan, beliau berharap usaha dapat dilakukan dengan lebih cemerlang memandangkan tahun ini adalah Tahun Melawat Hulu Selangor.

Promosi secara meluas dilakukan bagi memastikan kempen TMHS berjaya dilaksanakan.

Selain daripada itu, Noraini turut memfokuskan tindakan penguatkuasaan selari hasrat MDHS untuk naik ke taraf perbandaran yang memerlukan masyarakat mengubah sikap.

Keberkesanan perubahan masyarakat dilihat bukan hanya melalui pendidikan atau kempen tetapi juga melalui penguatkuasaan.

Untuk itu, beliau berharap dapat kerjasama baik daripada pimpinan masyarakat terutama ahli majlis.

Beliau juga berharap dapat membina satu daerah yang aman, sejahtera dengan masyarakat yang makmur.

=EZY=