Categories
BERITA UTAMA GLOBAL

Apa yang berlaku DUNIA hari ini? Perang, kebuluran, tapak dinosaur ditemui

Berikut adalah rumusan dan rangkuman berita antarabangsa sehingga jam 10.30 PAGI: 29 MAC 2017, seperti dilaporkan agensi berita antarabangsa:

 
1. NAIROBI: Bilangan penduduk Kenya yang memerlukan bantuan makanan meningkat dua kali ganda dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini untuk menampung tiga juta orang.

Persatuan Palang Merah hari ini, berkata ia berikutan musim kemarau yang semakin teruk. Kenya adalah antara negara Afrika Timur yang menghadapi krisis makanan, selain Ethiopia, Sudan Selatan. – AFP

 
2. SYDNEY: Saintis menemui apa yang dipercayai tapak kaki dinosaur terbesar di dunia, berukuran 1.7 meter di sebuah kawasan terpencil di pantai barat laut Australia. Tapak kaki dinosaur ‘sauropod’ itu adalah antara 21 jenis jejak yang ditemui di Semenanjung Dampier di Australia Barat, kira-kira 130 kilometer dari pantai peranginan Broome. – REUTERS

 
3. WASHINGTON – China selesai membina infrastruktur tentera di pulau-pulau yang dibina­nya di Laut China Selatan dan berupaya mengerahkan jet-jet pejuang serta kelengkapan ketenteraan lain ke sana pada bila-bila masa, kata sebuah kumpulan pemikir Amerika Syarikat (AS) semalam.

Inisiatif Ketelusan Maritim Asia (AMTI) yang merupakan sebahagian daripada Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa di Washington berkata, kerja pembinaan di Terumbu Fiery Cross, Terumbu Subi dan Mischief di Kepulauan Spratly itu termasuk kelengkapan tentera laut, udara, radar dan pertahanan. – REUTERS

 
4. SYDNEY: Lebih daripada 38,000 penduduk bergelap dan ada juga tidak mempunyai tempat berteduh sebaliknya terpaksa menumpang di tempat lain termasuk di hotel dan motel ketika puting beliung Debbie melanda Queensland, Australia.

Puting beliung Debbie mula melanda timur laut Australia membawa bersama-samanya hujan dan angin kencang ke wilayah itu mengakibatkan bekalan elektrik terputus dan pokok tumbang manakala beberapa bandar terpaksa ditutup. – AGENSI

 
5. ANKARA, TURKI: Ketua Menteri Kosovo, Rasim Demiri berkata beliau menjangkakan sokongan Kerajaan Turki dalam pembentukan tentera di negara itu. Beliau menyatakan harapan itu ketika membuat lawatan ke Turki. – ANADOLU AGENSI

 

6. Agensi Angkasa Lepas Eropah sedang mengenalpasti kawasan sesuai pendaratan kenderaan angkasa di Planet Marikh untuk menjalankan kajian bagi mengenalpasti kewujudan hidupan pada masa lepas dan kini. Rancangan untuk penghantaran robot saintifik itu dijangka pada 2018 – BBC NEWS

 

7. WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam menandatangani perintah eksekutif memansuhkan pelbagai kekangan terhadap penghasilan bahan api fosil, sekali gus menongkah amalan kebanyakan pemimpin dunia menyokong sumber tenaga lebih bersih.

Arahan itu memenuhi janji kempen Trump bagi merungkai usaha bekas Presiden Barack Obama membendung pemanasan global, memansuhkan pelbagai langkah bagi mempertingkatkan penghasilan tenaga tempatan terutama daripada minyak, gas asli dan arang batu. – AP

 

8. NEW YORK: Amerika Syarikat (AS) mengetuai tindakan memboikot rundingan perjanjian pengharaman senjata nuklear global yang disertai oleh lebih 100 negara di New York kelmarin.

Rundingan tersebut merupakan persidangan PBB pertama yang bermatlamat untuk memeterai perjanjian pengharaman senjata nuklear, namun dipulaukan oleh Washington kerana dianggap tidak realistik. – AFP

 
9. PERU: Sebuah pesawat Boeing 737-300 yang berlepas dari Lima terpaksa membuat pendaratan cemas di lapangan terbang Jauja. Pesawat itu mengalami kebakaran sebaik sahaja mendarat dan tergelincir daripada landasan. Pesawat itu yang membawa 141 penumpang berjaya keluar dan tiada laporan kecederaan. – MIRROR.CO UK

 

10. WASHINGTON: Korea Utara didakwa bersedia untuk melakukan persediaan peringkat terakhir mancarkan peluru berpandu baharu berdasarkan imej satelit terkini,kata penganalisis berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Imej diambil pada 25 Mac lalu menunjukkan empat kenderaan atau trak peralatan berada di pintu masuk Tapak Ujian Nuklear Punggye-ri dan peralatan kabel komunikasi. – AFP
DISEDIAKAN OLEH: MOHD EZLI MASHUT