Categories
SELANGOR

Ganjaran RM350 beri maklumat sampah haram

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 3 MAC: Ganjaran RM350 menanti orang ramai yang memberi maklumat berkenaan pembuangan sampah haram di kawasan Majlis Perbandaran Selayang (MPS).

Timbalan Yang Dipertua MPS, Dato’ Juhari Ahmad berkata, pemberi maklumat hanya perlu ke hadir ke pejabat pihak berkuasa tempatan itu untuk mengisi borang aduan berserta bahan bukti bagi membantu siasatan lanjut dilaksanakan.

“Usaha ini adalah bagi menghapuskan kegiatan sampah haram yang sering mendapat aduan awam di beberapa kawasan seliaan MPS.

“Ganjaran RM350 akan diberi kepada pengadu yang berjaya mengesan kes terbabit,” katanya.

Beliau berkata, setelah aduan diterima, MPS akan menjalankan siasatan dan kes akan diselesaikan dalam tempoh tujuh hari berdasarkan maklumat lengkap, tepat dan sahih.

“Ganjaran itu akan diberi sehingga kes di kawasan terbabit selesai dan tertangkapnya pelaku serta kompaun yang dikenakan dibayar,” katanya.

-AA-